
Beliau berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyentuh keperluan timbal balik, termasuk permintaan Malaysia terhadap fosfat dari negara itu, manakala Australia memerlukan beberapa komoditi dari Malaysia seperti urea.
“Itu pun ditohmah kononnya kita nak jual minyak. Sebenarnya, kita tak jual minyak,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di surau bomba, di sini.
Anwar menjelaskan, Australia turut menyuarakan keperluan terhadap diesel, namun Malaysia tidak berupaya memenuhi permintaan itu buat masa ini kerana keutamaan diberikan kepada rakyat tempatan.
“Dia perlu diesel, kita kata tidak ada upaya sebab kita perlu beri keutamaan kepada rakyat. Kalau ada lebihan, kita boleh pertimbang, tetapi sekarang belum,” katanya.
Albanese berlepas pulang malam semalam selepas menyempurnakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.
Dalam pertemuan dua hala bersama Anwar, kedua-dua negara menegaskan semula komitmen untuk menjamin keterjaminan makanan dan tenaga di peringkat serantau.
Selain itu, Malaysia dan Australia turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam sektor utama, termasuk pemprosesan dan perdagangan daging merah, susulan konflik global dan gangguan rantaian bekalan yang masih berterusan.
Sementara itu, Anwar memaklumkan sebuah kapal Malaysia membawa bahan api yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz telah sampai.
Katanya, manakala satu lagi kapal Malaysia hampir sampai memasuki perairan negara.
“Dari segi kelulusan, memang Iran telah memberi kelulusan kepada tujuh (kapal). Tetapi satu mempunyai masalah kerosakan tak boleh berlepas daripada pelabuhan,” katanya.
Pada 10 April lalu, Anwar mengesahkan enam daripada tujuh kapal Malaysia yang sepatutnya membawa bekalan minyak mentah ke negara ini, sudah mendapat kelulusan dan menunggu giliran untuk belayar melepasi Selat Hormuz.