Kerajaan kaji lanjutkan perintah kawalan pergerakan

Kerajaan kaji lanjutkan perintah kawalan pergerakan

Kerajaan akan mengkaji melanjutkan perintah kawalan pergerakan selepas 31 Mac sekiranya pergerakan rakyat masih belum terkawal.

Jalan Petaling di ibu negara yang biasanya sibuk dengan peniaga, pembeli dan pelancong lengang pada hari ke-2 perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan mengkaji melanjutkan perintah kawalan pergerakan selepas 31 Mac sekiranya pergerakan rakyat masih belum terkawal, kata perdana menteri ketika negara sedang berusaha menurunkan bilangan jangkitan Covid-19.

Muhyiddin Yassin berkata sekiranya tindakan-tindakan pihak berkuasa menambahbaik keadaan semasa, maka kemungkinan besar kawalan pergerakan 14 hari sejak 18 Mac lepas “menunjukkan kesan positif”.

“Majlis Keselamatan Negara akan bersidang sama ada langkah yang sudah diambil 2 minggu itu memadai atau perlu kita lanjutkan untuk tempoh seminggu atau 2 minggu,” katanya pada sidang media hari ini, ketika kawalan masuk minggu ke-2 dengan penglibatan tentera membantu polis menguatkuasakan arahan kerajaan.

Muhyiddin berkata MKN akan mempertimbangkan perkara itu pada 30 Mac ini, berdasarkan data semasa dan jika perintah kawalan pergerakan menghasilkan kesan positif.

Beliau berkata pematuhan perintah dalam kalangan rakyat meningkat kepada hampir 90%, namun masih ada yang tidak mematuhi arahan dan berada di luar rumah.

“Dari satu sudut, boleh dikatakan bahawa perintah kawalan pergerakan berfungsi, tetapi jika masih terdapat beberapa pergerakan, kami berharap ia dapat dikurangkan kepada minimum,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.