
Syaza Shukri dan Abdul Muqit Muhammad berpandangan, PN masih kekal sebagai platform lebih menguntungkan bagi presiden Bersatu itu kerana memiliki jentera pilihan raya tersusun berbanding IPR yang belum memperlihatkan objektif jelas sebagai gabungan pilihan raya.
“PN lebih bersedia sebagai jentera pilihan raya. IPR pula setakat ini lebih menyerupai platform wacana politik.
“Persoalannya, adakah ia boleh berkembang menjadi satu blok kerjasama pilihan raya yang sebenar,” kata Syaza dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bagaimanapun, beliau mengakui IPR memberi kelebihan dari sudut kepimpinan kepada Muhyiddin, memandangkan PN sendiri masih berdepan kecelaruan dalaman berkaitan jawatan pengerusi dan hala tuju gabungan.
“Saya melihat ini sebagai strategi survival. IPR membantu mengekalkan ‘visibility’ Muhyiddin.
“Pada masa sama, kita juga lihat PAS kembali bercakap soal Muafakat Nasional (MN), seolah-olah kedua-duanya menunjukkan hilang keyakinan terhadap PN,” katanya.
Muqit juga berpendapat, kehadiran Muhyiddin dalam IPR memberi gambaran beliau terdesak untuk kekal relevan ketika berdepan konflik dalaman Bersatu dan hubungan yang semakin renggang dengan PAS.
“Namun, langkah ini tidak akan meletakkan Muhyiddin pada kedudukan lebih baik berbanding ketika bersama Pakatan Harapan atau PN. Malah, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke belakang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemelut dalaman PN sebagai bukti gagasan penyatuan Melayu sekadar retorik politik yang sering dikitar semula, manakala IPR pula dijangka sukar memberi impak signifikan dalam persaingan pilihan raya akan datang.
“Bagaimana mereka ingin mengatur kerusi sedangkan parti yang arus perdana seperti PAS dan Bersatu pun berdepan kesukaran dalam pembahagian kerusi,” katanya.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula menegaskan, tanpa PAS sama ada dalam IPR atau PN, kedua-dua entiti tersebut tidak mempunyai nilai politik yang signifikan.
Katanya, walaupun keanggotaan IPR dan PN dilihat hampir sama, dengan IPR sedikit ke hadapan dari segi bilangan parti, hakikatnya PAS kekal sebagai tunjang dominan yang menentukan kekuatan sebenar pembangkang.
“Tanpa sokongan PAS, tidak kira sama ada Muhyiddin mempengerusikan IPR atau PN, ia tidak membawa sebarang kelebihan kepada kerjaya politik beliau, malah menyukarkan Bersatu untuk muncul sebagai parti yang lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata, selagi kemelut jawatan pengerusi PN dan isu dalaman seperti krisis politik di Perlis tidak diselesaikan, PAS akan terus menggunakan pengaruhnya termasuk kedudukan sebagai parti dengan kerusi Parlimen terbanyak dan penguasaan empat negeri (SG4) untuk menekan dan menentukan hala tuju PN serta IPR.
Minggu lalu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat IPR, ketika perselisihan dengan PAS mengenai jawatan pengerusi PN masih berterusan.
Muhyiddin disertai pemimpin komponen PN lain seperti Presiden Gerakan Dominic Lau dan Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam. Pemimpin PAS tidak kelihatan walaupun parti itu sebahagian daripada IPR.
IPR turut dianggotai Pejuang, Urimai, Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Putra, Berjasa, Muda, dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).