Muhyiddin perlu berunding dengan Dr M elak perpecahan PPBM, kata penganalisis

Muhyiddin perlu berunding dengan Dr M elak perpecahan PPBM, kata penganalisis

Penganalisis berkata, 2 pemimpin itu mahu mengelakkan perpecahan dalam PPBM bagi mengelakkan Umno menjadi parti dominan semula.

Awang Azman Pawi berkata, jika Muhyiddin Yassin tidak berunding dengan Dr Mahathir Mohamad sekarang, keadaan dalam PPBM akan lebih ‘goyah’ berbanding sekarang.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berkata, penting untuk Presiden PPBM, Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad ke meja rundingan untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

Ini susulan pemecatan sekutu Mahathir, Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung PPBM. Menurut sumber parti itu, Muhyiddin mungkin melantik Hamzah Zainuddin, menteri dalam negeri sebagai pengganti Marzuki.

Persoalan bangkit berhubung kemungkinan berlaku konflik kepentingan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Mahathir yang bertegas beliau kekal sebagai pengerusi PPBM, membantah pemecatan Marzuki dengan memberitahu Muhyiddin dalam sepucuk surat yang presiden perlu membincangkan keputusan penting dalam parti dengan pengerusi.

Awang Azman Pawi

Bercakap kepada FMT, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, jika Muhyiddin tidak berunding dengan Mahathir sekarang, keadaan dalam PPBM akan lebih “goyah” berbanding sekarang.

“Jika PPBM berpecah, kuasanya untuk berunding dengan parti lain seperti Umno akan berkurangan,” katanya sambil menambah ia adalah sesuatu yang diharapkan parti Melayu lain.

Namun, Muhyiddin atau Mahathir mungkin mahu mengelakkan perpecahan dalam PPBM kerana ia bermakna Umno akan menjadi parti dominan sekali lagi.

Awang Azman berkata, Muhyiddin mahu melantik Hamzah sebagai setiausaha agung PPBM boleh difahami kerana menteri dalam negeri ialah jawatan strategik dan beliau tidak mahu PPBM diganggu JPPM.

Langkah terbaik untuk Muhyiddin menghalang perpecahan, katanya, ialah berunding dengan Mahathir.

“Bersikap rendah diri dan berunding dengan Mahathir, beliau masih mempunyai banyak pengaruh dalam politik negara, secara langsung dan tidak langsung.”

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, JPPM bukan jalan terbaik menyelesaikan sebarang pertikaian dalam parti, jika Hamzah dilantik sebagai setiausaha agung.

“Ia boleh dilihat sebagai tidak adil.”

Tetapi, katanya, secara sah, tidak salah Muhyiddin memecat Marzuki dan melantik sesiapa saja menggantikannya.

Beliau berkata, dengan majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi parti menyokongnya, tafsiran perlembagaan PPBM dalam menyelesaikan pertikaian, yang terletak di bawah Majlis Pimpinan Tertinggi itu, akan memihak kepada Muhyiddin.

“Jika sesiapa dalam parti mahu membawa perkara itu ke mahkamah, tidak ada cara mereka boleh menang kerana perlembagaan parti dengan jelas menyatakan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi dalam menafsir perlembagaan parti tidak tertakluk kepada sebarang semakan semula.”

Kamarul percaya cara terbaik menyelesaikan pertikaian dalam PPBM ialah melalui pemilihan parti.

“Saya rasa Muhyiddin mahu mengelakkan perbalahan dengan Mahathir, terutamanya ketika beliau perlu fokus terhadap Covid-19.

“Perkara itu mungkin tidak bertambah teruk kerana undang-undang memihak kepada Muhyiddin, tetapi sudah tentu ia boleh dijadikan isu pemilihan oleh kem Mahathir untuk menggulingkan Muhyiddin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.