PM umum pakej rangsangan prihatin rakyat RM250 bilion

Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat di Bangunan Perdana Putra hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion untuk menangani impak pandemik Covid-19, lebih lebih 10 kali ganda daripada RM20 bilion yang diumumkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada bulan lalu.

Ia terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej terdahulu.

“Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir,” katanya dalam siaran langsung di televisyen hari ini.

“Kita ialah sebuah negara yang sedang berperang dengan kuasa halimunan.

“Keadaan yang kita sedang hadapi sekarang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih, tetapi saya mahu anda semua tahu kerajaan ini ambil berat tentang anda.

“Saya terima hakikat saya menjadi perdana menteri anda bukan pada saat terbaik. Saya berdepan krisis politik, ekonomi dan kesihatan, semuanya pada masa sama.”

Muhyiddin berkata, tambahan RM1 bilion akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, selain RM500 juta yang diumumkan sebelum ini, dengan bantuan akan diperolehi daripada hospital swasta.

Beliau berkata, elaun khas untuk doktor, jururawat dan petugas kesihatan dinaikkan daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 Apr ini sehingga Covid-19 berakhir.

Katanya, elaun khas RM200 kepada anggota polis, tentera, kastam, imigresen, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela yang terbabit dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai April hingga krisis ini berakhir yang membabitkan 169,000 kakitangan tambahan.

Peruntukan lain termasuk:

  • Bayaran “one-off” bagi golongan M40, petani, nelayan, peniaga kecil, peneroka Felda dan pekerja swasta berjumlah RM10 bilion.
  • RM1,600 untuk 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah dengan RM1,000 dibayar pada April dan RM600 pada Mei.
  • RM1,000 untuk 1.1 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 hingga RM8,000, dengan RM500 dibayar bulan depan dan bakinya pada Mei.
  • RM800 untuk 3 juta orang bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah, dengan RM500 dibayar bulan depan dan RM300 pada Mei.
  • RM500 bagi 400,000 orang bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,000 hingga RM4,000, dengan RM250 dibayar bulan depan dan baki pada Mei.
  • Bayaran “one-off” RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi pada Mei.
  • Syarikat telekomunikasi menawarkan internet percuma berjumlah RM600 juta kepada semua pelanggan mulai 1 Apr sehingga PKP tamat. Tambahan RM400 juta untuk menambah baik liputan dan kekuatan rangkaian.
  • RM25 juta untuk makanan dan tempat perlindungan bagi warga emas, orang kelainan upaya dan Orang Asli, dengan kerjasama bersama NGO.
  • Moratorium selama 6 bulan untuk bayaran balik pinjaman PTPTN dan PTPK.
  • Pengecualian sewa selama 6 bulan bagi penduduk PPR.
  • Pesakit di bawah skim MySalam boleh menuntut RM50 sehari selama 14 hari. Ini juga diberikan kepada mereka yang dikuarantinkan kerana Covid-19.
  • Golongan B40 di bandar dikecualikan membayar sewa selama 6 bulan. Jumlah keseluruhan RM3 juta akan ditanggung kerajaan.
  • Pengecualian sewa bagi premis milik kerajaan seperti kantin sekolah, taska, kafetaria dan kedai serbaneka selama 6 bulan mulai April.
  • RM600 sebulan selama 3 bulan bagi pekerja berpendapatan di bawah RM4,000.
  • Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja yang berpendapatan tidak lebih RM4,000 sebulan. Ini akan memanfaatkan 3.3 juta pekerja melalui peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.
  • Bayaran “one-off” RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing yang berjumlah RM60 juta.
  • RM110 juta untuk membayar gaji lebih 80,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan pembersihan dan katering di sekolah, universiti dan institut latihan awam serta agensi kerajaan lain. Kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak mereka sebulan lagi sebagai ganti kepada PKP.
  • Dana khas RM8 juta diwujudkan untuk industri insurans dan takaful bagi menanggung kos ujian saringan kesihatan oleh pemegang polisi dan takaful perubatan di hospital swasta serta makmal berharga RM300 setiap seorang.
  • Putrajaya dan Tenaga Nasional Bhd akan memperuntukkan tambahan RM530 juta bagi diskaun bil elektrik. Penggunaan di bawah 200 kilowatt layak mendapat diskaun 50%, 25% bagi penggunaan 201 hingga 300 kilowatt dan 15% untuk penggunaan 301 hingga 600 kilowatt. 2% potongan bagi isi rumah diteruskan.
  • RM1 bilion diperuntukkan kepada Dana Jaminan Makanan.
  • KWSP akan menyediakan khidmat rundingan bagi majikan mulai 15 Apr. Ini termasuk pilihan untuk penangguhan, penstrukturan semula atau penjadualan semula caruman majikan. Ini akan menjimatkan aliran tunai RM10 bilion bagi majikan dan memanfaatkan 480,000 PKS serta syarikat, dan mengekalkan lebih 8 juta pekerjaan.
  • Mengecualikan bayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi semua sektor selama 6 bulan mulai April membabitkan penjimatan RM440 juta bagi majikan.
  • Jumlah pembiayaan di bawah Skim Kredit Mikro dinaikkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.
  • Bayaran “one-off” RM500 bagi 1.5 juta penjawat awam dan 850,000 pesara kerajaan pada April.
  • Penangguhan cukai bagi sektor pelancongan selama 6 bulan.
  • Lanjutan moratorium untuk Tekun, Mara dan agensi berkaitan kerajaan lain yang memberikan pinjaman kepada PKS.
  • Kerajaan memperkenalkan program pembiayaan sosial baru untuk membantu perniagaan B40 dan mereka yang kehilangan punca pendapatan memalui institusi perbankan Islam dan Majlis Islam negeri. Individu layak akan diberikan latihan.
  • Sektor korporat menerima inisiatif baru di bawah skim jaminan bernilai RM50 bilion bagi sektor terjejas akibat Covid-19.
  • Pinjaman minimum RM20 juta bagi sektor perniagaan disediakan mulai 1 Mei hingga 31 Dis atau sehingga dana itu kehabisan.
  • RM2 bilion bagi projek berskala kecil seperti menyelenggara sekolah lama di Sabah dan Sarawak, projek Felda dan bantuan bagi golongan miskin.
  • Projek ECRL dan MRT2 diteruskan.
  • Putrajaya dan Bank Negara Malaysia menyediakan RM4.5 bilion untuk membantu PKS, khasnya usahawan mikro. Ini termasuk tambahan RM3 billion dimasukkan ke tabung bantuan kemudahan khas PKS dengan kadar faedah dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.
  • Kemudahan semua sektor ekonomi ditambah RM1 bilion dan RM500 juta dimasukkan ke skim kredit mikro yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional dengan kadar faedah 2% tanpa cagaran dan terbuka kepada usahawan mikro dalam semua sektor.
  • PKS yang beroperasi kurang 4 tahun boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM300,000 melalui skim BizMula-i dan BizWanita-i di bawah Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad.
  • Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan menyediakan jaminan bernilai RM5 bilion dan meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi PKS berdepan masalah mendapatkan pinjaman.
  • PKS boleh menangguh bayaran ansuran cukai pendapatan selama 3 bulan mulai April.
  • Semua kementerian diarah mengkaji belanjawan untuk mengurangkan kos.