Pakej rangsangan RM250 bilion asas pulih ekonomi negara, kata menteri kewangan

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan akan menubuhkan unit khas bagi memantau kecekapan pengagihan bantuan dan keberkesanan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion yang diumumkan perdana menteri pada Jumaat ialah asas kepada usaha memulihkan ekonomi dengan memasukkan wang ke poket rakyat.

Katanya, ia juga untuk memastikan tiada orang hilang pekerjaan dengan pelbagai bantuan yang diberikan kepada syarikat, khasnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Untuk syarikat besar, kita ada menawarkan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion untuk pinjaman lebih daripada RM25 juta, manakala untuk PKS pula membabitkan kemudahan skim kira-kira RM5 bilion.

“Kerajaan bersama-sama bank akan berkongsi risiko pinjaman ditawarkan ini dengan 80% pinjaman dijamin kerajaan dan selebihnya oleh pihak bank.

“Tindakan itu akan memacu pertumbuhan ekonomi negara di samping membolehkan syarikat terus mempunyai aliran tunai yang sihat,” katanya dalam wawancara sebuah program televisyen malam tadi.

Zafrul berkata, kerajaan julung kali memperkenalkan subsidi upah yang memperuntukkan RM5.9 bilion untuk manfaat kira-kira 3.3 juta pekerja di Malaysia.

“PKS juga dibenarkan berunding dengan KWSP mengenai kadar sumbangan caruman majikan untuk pekerja yang ketika ini sekitar 13%. Mereka boleh berunding dan KWSP akan membantu.

“Kerajaan turut menangguhkan pembayaran cukai selama 3 bulan kepada PKS dan ini akan dapat membantu aliran tunai syarikat.”

Katanya, Kementerian Kewangan akan menubuhkan unit khas bagi memantau kecekapan pengagihan bantuan dan keberkesanan pakej rangsangan ekonomi terbaru itu.

“Kita mahu melihat hasil yang kukuh. Unit ini juga bagi memastikan semua pihak dapat terima (bantuan).”

Beliau yakin pasukannya di Kementerian Kewangan mempunyai kebolehan yang diperlukan untuk tujuan itu.

“Pengalaman saya dalam bidang swasta dan kini baru menyertai perkhidmatan awam, cara rakan saya di Kementerian Kewangan bertungkus lumus mendraf pakej prihatin tak ada beza. Mereka kerja siang malam untuk bentuk pakej ini untuk pulihkan ekonomi dan tolong rakyat.

“Teman-teman saya di Kabinet, penjawat awam, ini masa untuk kita tunjuk apa yang kita boleh buat untuk tolong rakyat Malaysia.”

Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat untuk menangani impak pandemik Covid-19 yang jumlahnya lebih 10 kali ganda daripada RM20 bilion yang diumumkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada bulan lalu.

Ia terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej terdahulu.