Sabah arah semua daerah aktif operasi pusat bencana
Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, semua bantuan akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
KOTA KINABALU: Sabah mengarahkan semua daerah di negeri itu mengaktifkan operasi pusat bencana dan jawatankuasa keselamatan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi penularan wabak Covid-19.
Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, beliau mengarahkan semua pegawai daerah supaya bersiap sedia sekiranya jumlah kes jangkitan Covid-19 terus meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Pengaktifan pusat berkenaan dan jawatankuasa keselamatan bukan sahaja untuk tujuan kawalan sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), tetapi juga bagi membantu kerja-kerja pengagihan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat keselamatan negeri di sini, hari ini.
Terdapat 27 daerah di Sabah dengan sesetengahnya mempunyai penduduk yang tinggal bertaburan di lokasi yang sukar dihubungi kerana rupa bumi berbukit-bukau dan lasak.
Banyak daerah di Sabah adalah lebih besar daripada beberapa negeri di semenanjung Malaysia, misalnya Sandakan dengan keluasan 28,205 kilometer persegi adalah 2 kali lebih besar daripada Selangor (8,104 km persegi).
Dalam perkembangan sama, Shafie berkata, semua bantuan akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Shafie berkata, walaupun kerajaan menggalakkan NGO turut membantu golongan yang memerlukan, namun mereka digesa melakukannya melalui JKM dalam tempoh pelaksanaan PKP.
“Mereka boleh menampalkan pelekat masing-masing pada barang yang hendak didermakan dan memaklumkan kepada jabatan destinasi sumbangan itu dan individu yang disasarkan.
“NGO boleh menggunakan jentera pejabat daerah bagi menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Shafie berkata, ini bagi memastikan jumlah individu yang terlibat dalam inisiatif sedemikian dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan kontak langsung yang boleh memperluaskan lagi penularan Covid-19.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Semalam ahli Parlimen Semporna itu berkata, terdapat kira-kira 3,000 pemimpin akar umbi yang berperanan mengagihkan bantuan kepada golongahn miskin dan memerlukan yang tinggal di kawasan yang sukar dihubungi di negeri itu.