
Mereka kini disiasat kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP) di Tuaran dekat sini.
Enam terbabit, termasuk 1 pasangan suami-isteri keluar mencari lokan di kawasan berpaya di Jalan Kayu Madang malam tadi. Mereka bagaimanapun tersesat jalan dalam perjalanan pulang.
Ketua Polis Tuaran Hamizi Halim berkata, susulan laporan kehilangan mereka oleh anggota keluarga mereka awal hari ini, satu pasukan mencari terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela dihantar ke kawasan terbabit.
Mereka menjumpai kumpulan itu yang berumur antara 16 ke 59 tahun pada jam 9 pagi tadi.
Hamizi berkata, kumpulan itu dihantar ke Kampung Bukit Payung yang berdekatan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Kita akan teliti sama ada mereka melanggar PKP,” katanya dengan menambah bahawa pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan segera.
Dalam pada itu, di daerah Lahad Datu di pantai timur Sabah, polis menahan seorang lelaki dan anak lelakinya kerana melanggar PKP untuk menjual rokok seludup semalam.
Ketua Polis Lahad Datu Nasri Mansor berkata, susulan maklumat yang diterima, pihak polis mengesan 2 individu itu, masing-masing berumur 15 dan 34 tahun, di bahagian belakang pasar ikan Lahad Datu.
“Ketika ditahan, mereka mengaku tahu tentang PKP, tetapi tetap membuat keputusan menjual rokok bagi mendapatkan wang,” katanya.