
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 150 kes jangkitan baru dilaporkan berbanding semalam, menjadikan jumlah mangsa 3,483 orang sehingga kini.
Dalam pada itu, 88 kes jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj menjadikan bilangan pesakit sembuh 915 orang setakat ini.
Beliau berkata, kematian hari ini melibatkan 2 pesakit perempuan dan 2 lelaki warga tempatan berumur antara 56 hingga 85 tahun dan mempunyai rekod penyakit kronik.
Katanya lagi, sehingga kini KKM mendapati kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkait dengan mereka yang menghadiri himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling bulan lepas.
“Kluster ini merupakan kluster terbesar setakat ini dan mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan.
“Misalnya, ia melibatkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz,” katanya pada sidang media, di sini.
Daripada 150 jangkitan terbaru hari ini, 80 dikaitkan dengan jemaah berkenaan.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas permintaan Jabatan Penjara supaya mahkamah berhenti menjatuhkan hukuman penjara ke atas pengingkar PKP, Noor Hisham dilihat tidak bersetuju mengenai perkara itu.
Katanya, PKP sudah pun berkuatkuasa dan mana-mana individu yang didapati ingkar tidak mempunyai pilihan lain.
“Sama ada dimasukkan dalam penjara atau cari tempat untuk kuarantin mereka.”
Sebelum ini, Jabatan Penjara berkata langkah menjatuhkan hukuman penjara ke atas pengingkar PKP menyebabkan kesesakan di penjara, sekali gus menjadikan penguatkuasaan amalan jarak sosial “mustahil” dilaksanakan.