
Ketua eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata, bantuan RM232.80 seorang selama setahun itu adalah sumbangan kerajaan negeri Terengganu melibatkan jumlah keseluruhan caruman RM129,670.
“Peruntukan ini membuktikan penghargaan dan komitmen kerajaan Terengganu terhadap kebajikan pemandu teksi, kereta sewa dan bas di seluruh negeri itu melalui perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku musibah ketika menjalankan tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perkeso menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mulai 1 Jun 2017 yang memberi perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Sebagai permulaan, skim tersebut diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang, iaitu pemandu teksi, e-panggilan dan pemandu bas, manakala mulai 1 Januari 2020, ia diperluas kepada 19 lagi sektor pekerjaan sendiri, menjadikan kesemuanya 20 sektor, termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan.
Bagaimanapun katanya, sehingga semalam, hanya 49,183 pencarum aktif direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS berbanding anggaran 2.8 juta orang yang bekerja sendiri di seluruh negara.
Justeru, Mohammed Azman menggesa individu bekerja sendiri supaya segera mendaftar bagi memastikan mereka mendapat perlindungan di bawah SKSPS.