Perintahkan khidmat masyarakat, bukan penjara ke atas pengingkar PKP, kata pengarah penjara

Perintahkan khidmat masyarakat, bukan penjara ke atas pengingkar PKP, kata pengarah penjara

Amalan jarak sosial tidak dapat dikuatkuasakan dan boleh memberi ancaman kepada banduan sedia ada dan kakitangan penjara.

Menurut pihak berkuasa penjara, setakat 1 April, ia menerima kemasukan 378 pesalah yang mengaku salah melanggar PKP seperti diperintahkan oleh mahkamah.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa penjara menggesa mahkamah supaya memerintahkan individu yang didapati bersalah melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bertujuan menghalang penyebaran wabak Covid-19 menjalani hukuman khidmat masyarakat wajib, bukannya menghantar mereka ke penjara.

Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar dalam satu surat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, langkah itu perlu bagi menghindari kemungkinan virus tersebut merebak dalam kalangan banduan dan kakitangan.

Beliau berkata, banduan baru juga akan menambah kesesakan dalam penjara dan jabatan itu bimbang bahawa virus berkenaan boleh merebak kerana status kesihatan mereka tidak dapat disahkan.

Katanya, amalan jarak sosial tidak dapat dikuatkuasakan dan ini boleh memberi ancaman kepada banduan sedia ada dan kakitangan penjara.

“Jabatan Penjara ingin mencadangkan supaya pesalah pelanggaran PKP dikenakan Perintah Kerja Sosial di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah 1954, di mana mereka dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat tanpa menjalankan hukuman pemenjaraan,” katanya dalam surat bertarikh 2 April yang dilihat oleh FMT.

Zulkifli Omar

Zulkifli berkata, pihak berkuasa penjara menggunakan undang-undang ini sejak 2010.

“Perhatian dan kerjasama tuan dalam perkara ini didahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih,” katanya dengan menambah bahawa sehingga 1 April, 378 pesalah (yang mengaku bersalah) telah dihantar oleh mahkamah untuk menjalani hukuman mereka.

Satu salinan surat tersebut dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan ketua setiausaha Kementerian dalam Negeri Jamil Rakon.

FMT sedang berusaha mendapatkan respons daripada Terrirudin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.