Kes judi atas talian, rokok haram meningkat sepanjang PKP, kata KPN

Kes judi atas talian, rokok haram meningkat sepanjang PKP, kata KPN

Polis kesan penyeludup menggunakan khidmat e-panggilan jual, hantar rokok haram tanpa dikesan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis juga mengesan kegiatan ‘scammer’ yang menawarkan pelbagai skim atas talian berikutan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan dalam menghadapi krisis Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, berlaku peningkatan ketara dalam kes melibatkan sindiket judi atas talian dan penyeludupan rokok haram sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sudah memasuki hari ke-20.

Abdul Hamid menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan berkenaan apabila berada di rumah, yang disifatkannya membuang masa kerana ia adalah aktiviti tidak berfaedah, malah membazirkan wang.

“Saya juga ingin nasihatkan, berhati-hati dengan ‘scammer’ yang cuba terus lakukan eksploitasi dengan pelbagai skim, khususnya apabila kerajaan umumkan bantuan kewangan akan dimasukkan ke dalam akaun mereka.

“Begitu juga dengan orang ramai, ketika waktu berkurung di rumah ini, elakkan berjudi. Saya difahamkan judi atas talian berleluasa. Dalam masa terdekat saya akan ambil tindakan ke atas sindiket ini.

“Sindiket ini menyasarkan orang ramai yang berada di rumah. Aktiviti penyeludupan rokok haram juga meningkat berikutan rokok yang dijual secara ‘halal’ di pasaran kehabisan stok,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Abdul Hamid, kegiatan penyeludupan rokok dikesan apabila ada di antara mereka menggunakan perkhidmatan e-panggilan bagi menjual dan menghantar barangan.

“Saya percaya aktiviti ini berleluasa. Saya sudah arahkan pegawai di lapangan jalankan pemeriksaan secara rambang. Ini berikutan ada kenderaan yang disyaki membawa ribuan rokok dapat ditangkap,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Hamid merayu penagih dadah yang mempunyai simptom Covid-19 supaya tidak takut tampil ke depan bagi melakukan saringan.

“Perkara yang jadi keutamaan ketika ini adalah Covid-19. Saya menyeru mereka yang dijangkiti, tampil dapatkan rawatan. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tak jalankan operasi.

“Kalau seseorang ambil ganja, dia takut dikesan sekiranya melakukan saringan, jangan bimbang, yang penting nyawa dia selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.