Indira pulang, diberitahu timbalan menteri akan atur bertemu KPN

Indira pulang, diberitahu timbalan menteri akan atur bertemu KPN

Ibu mahu anak dikembalikan, Indira Ghandi, pulang selepas diberitahu Timbalan Menteri M Kulasegaran akan atur pertemuan dengan KPN Khalid Ismail.

Indira Ghandi bersama beberapa individu yang berhimpun untuk serah patung milik anaknya, Prasana Diksa, kepada KPN.
KUALA LUMPUR:
Indira Ghandi bersama peserta perhimpunan pulang selepas diberitahu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran akan atur pertemuan dengan Ketua Polis Negara Khalid Ismail.

Pada sidang media sebelum bersurai, Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy yang mewakili kumpulan ini memaklumkan bahawa Kulasegaran berkata demikian apabila dihubungi tadi.

“Tadi saya telah menelefon beliau. Beliau terus memberi jaminan. Itu satu jaminan yang baik untuk kita, dan akhirnya kita mahu bertemu dengan KPN agar beliau dapat melihat sendiri keadaan si ibu, memahami kesakitannya,” katanya.

Arun menjangkakan pertemuan itu berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

“Timbalan menteri sendiri akan berjumpa dengan KPN dan akan turut serta dalam mesyuarat itu,” katanya.

Sebelum itu, Indira bersama beberapa peserta perhimpunan duduk di atas jalan berhadapan Bukit Aman, selama lebih satu jam, selepas gagal bertemu Khalid bagi menyerahkan patung milik anaknya, Prasana Diksa, yang dibawa lari bekas suaminya 16 tahun lalu.

Terdahulu, Indira bersama lebih 100 individu berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Bukit Aman, pada 11 pagi tadi.

Indira dan beberapa individu kemudian ambil keputusan untuk duduk di jalan selepas hampir tiga jam menunggu Khalid di luar Bukit Aman. Kumpulan ini bersurai pada 4.05 petang.

Sebelum itu, Indira dalam ucapannya berkata beliau berjuang hampir 16 tahun mendapatkan anaknya dan perjuangan itu tidak akan berhenti.

Kulasegaran antara individu yang menghadiri himpunan di Sogo, serta bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan aktivis sosial, Marina Mahathir.

Pada 21 Nov, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan polis memperluas pencarian Muhammad Riduan Abdullah, kerana gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada Indira.

Pada 2009, Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira, dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama itu adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan KPN menangkap Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya.

Selepas himpunan bersurai, Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam memaklumkan kepada pemberita bahawa himpunan hari ini tidak mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kesepakatan dah dibuat antara penyokong Indira dan pihak lain. Kita lihat perancangan akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.