Mat Sabu anggap surat kepada pemimpin Arab bukan tulisan Hadi

Mohamad Sabu meminta Abdul Hadi Awang tampil menafikan surat berbahasa Arab mengenai keadaan politik semasa di Malaysia bukan penulisannya.

PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu yakin surat berbahasa Arab kepada gerakan Islam bagi menjelaskan keadaan politik semasa di Malaysia yang tersebar di media sosial baru-baru ini bukan penulisan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Ini kerana beliau adalah seorang ulama yang telah membimbing saya ketika dalam PAS sebelum ini.

“Walaupun pada 2015 kami mengambil langkah politik berbeza dengan keluar PAS dan menubuhkan Amanah, tetapi penghormatan terhadap beliau tidak pernah hilang sebagai seorang ulama yang dijelmakan di dalam PAS sejak sekian lama,” tulisnya dalam catatan di Facebook hari ini.

Dalam surat bertarikh 22 Mac lalu kepada pemimpin Arab itu, Hadi didakwa menceritakan bagaimana kerajaan Perikatan Nasional terbentuk dan kenapa PAS menyokong serta menyertai kerajaan baru.

Pada 2 April lalu, Putrajaya mengumumkan pelantikan Hadi sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah yang bertaraf menteri.

Pejabat Perdana Menteri dilaporkan berkata, pelantikan itu dipersetujui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Hadi ialah bekas naib presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dan pernah dipilih antara 500 umat Islam berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, meminta Hadi tampil membuat penafian kerana surat itu mendakwa pasukan tentera, polis dan pihak istana menyokong usaha penubahan kerajaan pintu belakang pada bulan lalu.

Bekas menteri pertahanan itu yakin polis dan tentera tidak akan terbabit dalam konspirasi politik sedemikian dan penulis tidak sepatutnya mengaitkan pasukan keselamatan negara dalam fitnah itu.

“Hampir keseluruhan kandungan surat tersebut adalah fitnah yang direka oleh penulis untuk memburukkan lawan politik mereka.”

Katanya, jika benar surat itu ditulis Hadi, ia merupakan satu tindakan sangat tidak berakhlak.

“Ini kerana surat tersebut sarat dengan fitnah, fakta yang salah dan tuduhan yang sangat jijik, lebih-lebih lagi dilakukan oleh seorang yang bergelar ulama.”