Muhyiddin umum peruntukan tambahan RM10 bilion bantu PKS

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan pakej perihatin tambahan sebanyak RM10 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dana tambahan itu dibuat bagi membantu kesukaran yang dialami oleh industri tersebut pada masa ini susulan penularan pandemik Covid-19,

“Diharap dalam membantu beban sektor PKS,” katanya dalam siaran langsung di televisyen hari ini.

Bantuan itu tambahan kepada pelan penyelamat Covid-19 RM250 bilion, atau Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, yang diumumkan Muhyiddin bulan lepas.

Ia terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej terdahulu.

“Pakej tambahan berjumlah RM10 bilion ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin 2/3 daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan,” katanya dalam satu siaran langsung hari ini.

Jangan buang pekerja

Muhyiddin turut memaklumkan, mana-mana majikan yang memilih untuk menerima bantuan kerajaan diwajibkan mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya selama 6 bulan.

Pertama, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah.

Antaranya seperti berikut:

  • Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan.
  • Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.
  • Syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.
  • Syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat juga akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan, iaitu:
  • Bantuan 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan Perkeso.
  • Kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
  • Majikan yang memilih untuk menerima bantuan disyaratkan mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu.

Geran khas untuk PKS mikro

Dalam perkembangan sama, Muhyididn turut mengumumkan geran khas prihatin berjumlah RM2.1 bilion untuk semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan.

Katanya, kerajaan akan menyediakan geran khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro dan akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

“PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan akan mendapatkan senarai PKS mikro yang layak daripada pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Selain itu, kerajaan juga menyeru organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020, sepert yang diberikan oleh pihak bank,” katanya.

Beliau berkata, bagi meringankan beban kewangan PKS, kerajaan akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang diumumkan.

“Pertama, memansuhkan kadar faedah 2% kepada 0% untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

“Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada Tekun Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah 0%.

“Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan. Pemohon boleh memilih salah satu daripada skim disediakan bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini.

“Kedua, mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS di premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat kerajaan persekutuan seperti Mara, Petronas, PNB, Plus dan Uda serta beberapa syarikat milik kerajaan negeri yang bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka, khusus untuk penyewa PKS.

Penangguhan sewa premis milik kerajaan

“Atas prinsip perkongsian bebanan, saya menggesa pemilik premis swasta turut memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu PKP dan 3 bulan selepas iaberakhir.

“Pemilik bangunan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020 dan tertakluk kepada syarat pengurangan sekurang-kurangnya 30%.

“Ketiga, membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25% kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020, melainkan levi ke atas pembantu rumah.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menggalakkan perundingan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam tempoh PKP.

“Sebarang perundingan hendaklah tertakluk kepada undang-undang mengenai pekerjaan yang berkuatkuasa di negara ini. Yang penting, hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela,” katanya.

Antara kemudahan lain diberikan kerajaan menerusi peruntukan tambahan kepada PKS ialah ia bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari dari tarikh terakhir PKP kepada syarikat yang mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM mengikut syarat ditetapkan.

Muhyiddin turut memberi contoh mudah dalam usaha kerajaan membantu PKS.

“Contoh pertama ialah Lee Beauty Saloon, iaitu sebuah PKS mikro yang terlibat dalam sektor perniagaan dandanan rambut. Saloon ini mempunyai 2 orang pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000.

“Pemilik saloon ini, Madam Lee ingin merancakkan semula perniagaannya selepas tamat tempoh PKP.

“Dengan pelaksanaan semua bantuan yang diumumkan kerajaan, Madam Lee boleh mendapat manfaat subsidi upah 3 bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro sebanyak RM3,000.

“Kesuluruhan manfaat yang diterima oleh Madam Lee ialah sebanyak RM10,200.

“Contoh kedua pula ialah Restoran Mi Kolok Hj Salleh di Kuching Sarawak.

“Katakan restoran ini mempunyai 5 orang pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan 2 pekerja asing.

“Untuk menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro BSN sebanyak RM50,000 dan subsidi upah untuk 5 orang pekerja berjumlah RM18,000.

“Di samping itu, pemilik restoran juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, tangguhan cukai berjumlah RM5,200, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300.

“Keseluruhan manfaat yang boleh diterima, tidak termasuk pinjaman kredit mikro, ialah sebanyak RM34,200 untuk tempoh 3 bulan.

“Contoh terakhir ialah Syarikat Surjit Kaur Sdn. Bhd. Syarikat ini adalah sebuah syarikat bersaiz kecil dalam sektor perkilangan perabot dengan 15 orang pekerja.

“Lima orang adalah pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah, 10 orang pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan bergaji lebih RM4,000.

“Bagi memastikan syarikat dapat menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, Syarikat Surjit Kaur boleh mendapatkan pinjaman Special Relief Facility (SRF) sebanyak RM500,000 dan subsidi upah berjumlah RM18,000.

“Selain itu, syarikat juga boleh menikmati penjimatan melalui pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM4,600, tangguhan cukai PKP Mikro sebanyak RM32,700 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM100.

“Keseluruhan manfaat yang diperolehi oleh syarikat ini, tidak termasuk pinjaman SRF, ialah sebanyak RM63,800,” katanya.

Muhyiddin berharap pakej tambahan itu dapat melindungi pekerjaan di samping menjamin daya tahan perniagaan.

“Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan amalan kewangan berhemah dan disiplin fiskal yang tinggi bagi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh dan terkawal,” katanya