
Agensi kesihatan PBB bersama Nursing Now dan International Council of Nurses (ICN) menekankan dalam laporan mengenai peranan penting yang dimainkan oleh jururawat, yang merupakan separuh daripada keseluruhan pekerja kesihatan di seluruh dunia.
“Jururawat tulang belakang bagi mana-mana sistem kesihatan,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam kenyataan.
“Hari ini, ramai jururawat meletakkan diri mereka di barisan hadapan memerangi Covid-19,” katanya, sambil menambah amat penting bagi mereka “mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan dunia.”
Laporan itu mengatakan terdapat kira-kira 28 juta jururawat di seluruh dunia.
Dalam tempoh 5 tahun hingga 2018, jumlah itu meningkat sebanyak 4.7 juta.
“Tetapi masih berlaku kekurangan global sebanyak 5.9 juta,” kata WHO, menekankan jurang terbesar berlaku di negara-negara miskin di Afrika, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Amerika Selatan.
Laporan itu menggesa negara mengenal pasti jurang dalam tenaga kerja kejururawatan mereka dan melabur dalam pendidikan kejururawatan, pekerjaan dan kepemimpinan.
Kekurangan ‘meletihkan tenaga kerja’
Ketua Eksekutif ICN, Howard Catton memberitahu taklimat maya bahawa kadar jangkitan, kesilapan ubat dan kadar kematian “lebih tinggi apabila terlalu sedikit jururawat”.
Tambahan lagi, “kekurangan itu meletihkan tenaga kerja jururawat sedia ada,” tambahnya.
Dalam memerangi pandemik, Mary Watkins, yang turut mempengerusikan laporan untuk Nursing Now, menggesa pelaburan segera dalam ujian virus untuk pekerja penjagaan kesihatan.
“Kami mempunyai sejumlah besar pekerja penjagaan kesihatan yang tidak pergi bekerja kerana mereka takut telah dijangkiti dan tidak dapat membuktikan mereka tidak dijangkiti – atau mereka telah dijangkiti dan sembuh,” katanya.
Catton berkata seramai 23 jururawat meninggal dunia di Itali dan angka rasmi menunjukkan sekitar 100 pekerja kesihatan meninggal dunia di seluruh dunia.
Sementara itu, beliau berkata terdapat laporan 9% pekerja kesihatan dijangkiti di Itali dan “kita kini mendengar kadar jangkitan sehingga 14% di Sepanyol”.
Beliau juga merujuk laporan tentang serangan yang “sama sekali tidak boleh diterima dan patut dikeji” terhadap pekerja kesihatan yang sedang memerangi Covid-19, kebanyakannya kerana kejahilan mengenai kerja itu, serta negara tidak melindungi mereka dengan secukupnya.
“Covid-19 menarik perhatian kepada kami semua,” katanya, menyambut baik peningkatkan penghargaan terhadap kerja jururawat di beberapa negara.
Catton berkata ia boleh membantu mengubah persepsi terhadap nilai kejururawatan – yang seterusnya mungkin dapat membantu menjadikannya kerjaya yang lebih menarik.
Pengambilan jururawat lelaki
Disebalik Covid-19, Watkins berkata banyak negara kaya tidak menghasilkan cukup jururawat untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan, dan bergantung kepada penghijrahan jururawat, menyebabkan kekurangan yang ketara di negara-negara yang lebih miskin.
“Lapan puluh peratus jururawat di dunia kini hanya berkhidmat untuk 50% penduduk dunia,” katanya.
Catton memberi amaran risiko negara-negara kaya bergantung kepada Filipina dan India untuk “membekalkan jururawat dunia”, yang boleh menyebabkan kekurangan yang ketara di India.
Pakar itu berkata bidang kejururawatan masih didominasi golongan wanita dan perlu mengambil lebih ramai jururawat lelaki.
“Terdapat bukti jelas apabila lebih ramai lelaki dalam mana-mana profesion di dunia, gaji dan terma dan syaratnya bertambah baik,” kata Watkins.