Tak perlu tangkap pengingkar PKP, kata peguam

Tak perlu tangkap pengingkar PKP, kata peguam

Peguam berkata, pelanggaran PKP tidak membenarkan polis membuat tangkapan kerana ia hanya kes saman.

Polis berkata, pasukan itu akan bertindak lebih tegas terhadap pengingkar perintah kawalan pergerakan.
PETALING JAYA:
Peguam menggesa polis hanya mengeluarkan notis kompaun kepada individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berkata, undang-undang yang mendasari penguatkuasaan peraturan itu tidak membenarkan polis membuat tangkapan.

Bercakap kepada FMT, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Kanun Acara Jenayah menyebut bahawa tangkapan boleh dibuat hanya apabila kesalahan yang dilakukan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara lebih 6 bulan.

Di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang mendasari PKP, pesalah hanya boleh dijatuhi hukuman penjara 6 bulan atau denda RM1,000.

“Pelanggaran peraturan itu tidak membenarkan polis membuat tangkapan kerana ia hanya kes saman,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan dan tahanan oleh polis untuk tujuan siasatan adalah pelanggaran serius terhadap kebebasan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu memperuntukkan bahawa mana-mana orang tidak boleh dinafikan ke atas kehidupan dan kebebasan peribadi melainkan mengikut undang-undang.

Rafique memberi respons terhadap laporan bahawa polis akan mula mengambil tindakan lebih keras terhadap pengingkar PKP berikutan pelaksanaan fasa ketika perintah itu semalam.

“Kita tidak lagi akan mengeluarkan saman. Pengingkar akan ditangkap dan didakwa,” kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed pada satu sidang akhbar.

Beliau berkata, seramai 14,922 orang ditahan dalam 2 fasa pertama PKP dan 5,830 dibawa ke mahkamah.

Peguam KA Ramu berkata, pesalah harus diberikan notis dan diberi masa untuk membayar kompaun.

Katanya, jika mereka membayar kompaun maka mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Mereka hanya perlu ditahan dan didakwa di mahkamah kemudian,” katanya dengan menambah bahawa hanya mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menentukan tempoh hukuman penjara.

Dari segi logistik katanya, mustahil bagi polis untuk mendakwa pesalah di mahkamah pada hari yang sama kerana siasatan perlu dibuat.

GK Ganesan

Peguam GK Ganeson berkata, pengeluaran notis kompaun kepada pesalah harus diutamakan oleh pihak polis atau mana-mana pegawai kesihatan awam yang diberi kuasa oleh ketua pengarah kesihatan.

“Tujuan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 ialah untuk menghalang orang ramai daripada membahayakan diri mereka sendiri atau orang lain. Ia tidak melihat mereka seperti penjenayah biasa.

“Jadi peraturan penjarakan sosial menolak tahanan reman atau penjara. Hanya ada denda,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan menggariskan beberapa peringkat hukuman untuk tahap kesalahan yang berbeza.

“Denda RM1,000 untuk pesalah kali pertama, kelihatan berat, terutama bagi golongan miskin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.