Menteri janji siasat dakwaan ahli Parlimen pembangkang tak dapat bakul makanan

Minggu lalu, Hannah Yeoh mendakwa 54 kawasan Parlimen pembangkang belum menerima bakul makanan yang dijanjikan kerajaan.

PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun akan menyiasat dakwaan bakul makanan untuk golongan miskin ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak diagihkan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Ia selepas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan bakul makanan kepada PPBM dan Umno Bahagian Segambut sedangkan beliau dimaklumkan bantuan itu tidak mencukupi untuk diagihkan kepada keluarga memerlukan.

Rina berkata, kementeriannya menerima banyak permohonan bantuan daripada pelbagai pihak dan ramai rakyat yang prihatin dengan golongan memerlukan.

“Tentang aduan tersebut, saya akan semak,” katanya kepada FMT malam ini.

Terdahulu, Yeoh yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata beliau memohon tambahan 750 bakul makanan daripada JKM pada 18 April lalu selepas menerima 250 bakul makanan pada 13 April.

“(Tetapi) JKM kata tak cukup kerana mereka menerima banyak permintaan. Ahli Parlimen pembangkang kena cari penderma dan beli sumbangan dengan peruntukan yang sangat terhad.

“Yang anehnya, Umno dan PPBM Segambut pula menerima bakul makanan daripada JKM, manakala ahli Parlimen tak dapat.

“Bakul makanan ini bukan dibiayai menteri ataupun parti politik yang menyokong beliau. Bakul ini dibeli menggunakan duit rakyat dan tidak sewajarnya digunakan untuk mempromosikan agenda politik,” tulisnya di Facebook hari ini.

Yeoh berjanji tidak akan berhenti mempersoalkan tindakan Rina kerana ramai lagi keluarga yang kelaparan menunggu bantuan makanan kerajaan.

Pada 17 April lalu, Yeoh mendakwa wujud pemberian bakul makanan secara terpilih oleh Rina kerana 54 kawasan Parlimen pembangkang belum menerima bantuan itu, walaupun 1,000 bakul makanan dijanjikan Putrajaya untuk diagihkan melalui JKM ke kawasan Parlimen ketika PKP.