Sabar, terima sekatan sambut Ramadan kali ini, kata Dr Mahathir

Sabar, terima sekatan sambut Ramadan kali ini, kata Dr Mahathir

Sekatan yang terpaksa dilalui bagi membendung wabak Covid-19 bukan beban jika orang Islam bersikap sederhana dan mengawal nafsu.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, jika orang ramai mahu menjalankan ibadah puasa seperti sebelum ini, mereka akan memperjudikan kehidupan orang lain, termasuk diri sendiri.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad meminta umat Islam supaya menerima baik pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui dalam suasana melaksanakan ibadah puasa kali ini.

Mahathir berkata, sekatan yang terpaksa dilakukan untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 pasti mengubah banyak tradisi sambutan Ramadan sebelum ini, namun ia tidak akan menjadi beban sekiranya umat Islam mengamalkan sikap sederhana dan dapat mengawal hawa nafsu.

“Antara yang terpaksa kita hentikan ialah majlis berbuka puasa beramai-ramai dan sembahyang tarawih secara berjemaah. Kita juga tidak dapat membeli juadah yang enak di bazar Ramadan.

“Selain itu, pergerakan kita untuk melawat dan berbuka puasa dengan seanak-saudara juga turut terjejas.

“Ramadan kali ini menuntut kesabaran dan kekangan nafsu yang jauh lebih berat berbanding dahulu. Sama ada kita sedar atau tidak, cabaran yang kita hadapi dalam bulan Ramadan kali ini sebenarnya menguji tahap kesungguhan kita untuk mempertahankan rakyat dan negara,” katanya menerusi catatan Facebook.

“Ini kerana jika kita tidak dapat membendung nafsu dan masih mahu menjalankan ibadah puasa seperti tahun-tahun yang lalu, kita akan memperjudikan kehidupan rakyat yang lain, termasuk diri kita sendiri,” tambahnya.

Menurut Mahathir pengorbanan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dengan mematuhi pelbagai sekatan berkenaan adalah jauh lebih kecil berbanding pengorbanan mereka yang berada di barisan hadapan untuk mempertahankan semua rakyat Malaysia.

Katanya jika umat Islam menerima keadaan itu, mereka akan dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sempurna seterusnya dapat menyambut Syawal dengan penuh kesyukuran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.