Pengangguran perlu diatasi dengan kadar segera

Ketika semua perkara sedang mengalami kejatuhan nilai, sama ada harga minyak dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), atau ekonomi global secara keseluruhannya, terdapat beberapa perkara yang nilainya meningkat naik, salah satunya ialah kadar pengangguran.

Awal April, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan hasil kaji selidik Impak Covid-19 Terhadap Ekonomi dan Individu (pusingan pertama) dan seramai 168,182 responden mengambil bahagian dari seluruh negara.

Berdasarkan kajian tersebut, hampir 47% pekerja yang bekerja sendiri kehilangan pekerjaan – lebih kurang 19,677 responden. Manakala bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, 35.5% dilaporkan mengalami penurunan pendapatan melebihi 90%.

Jika peratusan tersebut diambil dalam skala sebenar, ini bermakna daripada 2.86 juta pekerja yang bekerja sendiri, 1.34 juta pekerja kehilangan pekerjaan, dan hampir 540,000 lagi mengalami kejatuhan pendapatan melebihi 90%.

Ini baru mengambil kira mereka yang bekerja sendiri, belum lagi dihitung mereka yang bekerja dengan majikan.

Kesan lanjutan PKP

Walaupun DOSM mengatakan ini bukanlah statistik rasmi, namun ia boleh digunakan untuk menyokong gambaran tentang situasi semasa.

Definisi pekerja yang bekerja sendiri ini meliputi peladang, penternak, nelayan dan yang mempunyai perniagaan sendiri tanpa menggaji pekerja, termasuk Makcik Kiah yang menjual pisang goreng di gerai secara sendirian.

Pada masa yang sama, di peringkat global, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberi gambaran hampir 25 juta pekerja akan hilang pekerjaan, dengan kehilangan pendapatan menghampiri AS$3.4 trilion (RM14.8 trilion) jika virus ini tidak dikawal.

Manakala, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kira-kira 2.4 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan akibat krisis Covid-19 ini.

Lebih memburukkan keadaan, anggaran ini dibuat berdasarkan tempoh 1 bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ini bermakna, dengan lanjutan PKP yang baru diumumkan sehingga 12 Mei, jumlah tersebut juga berkemungkinan meningkat.

Tekanan

Sudah tentu, lanjutan PKP dapat membantu negara dalam menangani penularan virus pandemik ini, namun ia juga memburukkan lagi krisis ekonomi yang sudah mula terjejas sebelum Covid-19 menyerang dunia.

Suntikan fiskal secara terus bernilai RM35 bilion melalui pakej rangsangan Prihatin sedikit sebanyak dapat membantu rakyat menghadapi wabak ini, namun ianya bukan untuk tempoh waktu yang panjang dan negara tidak dapat elak daripada peningkatan kes pengangguran.

Peningkatan ini secara tidak langsung akan memberi tekanan terhadap kerajaan dan Bank Negara dalam memulihkan semula ekonomi, sama ada mereka akan memberi ganti rugi kepada pekerja yang terkesan, atau berusaha meyakinkan majikan untuk mengekalkan pekerja sehingga wabak berakhir.

Kegagalan dalam membentuk dasar yang kamil akan mengakibatkan kemelesetan yang lebih teruk, dan mereka berkemungkinan perlu mempertimbangkan pakej rangsangan tambahan untuk menambah baik pakej rangsangan sedia ada.

Peningkatan pengangguran bukan hanya berlaku di Malaysia, malah secara serentak di seluruh dunia. Pengangguran di Amerika Syarikat meningkat sehingga 16.25% dalam tempoh masa hanya 5 minggu, menyamai 26.5 juta rakyat AS.

Di Sepanyol, kadar pengangguran melepasi 14%, antara yang tertinggi bagi negara yang sudah membangun.

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan?

Pelan pemulihan

Kerajaan Malaysia, terutamanya Kementerian Kesihatan yang diketuai oleh Dr Noor Hisham Abdullah, diiktiraf antara institusi yang terbaik dalam membendung penyebaran wabak pandemik ini.

Kerajaan, dengan pelaksanaan PKP yang ketat, dibantu pelbagai pihak termasuk anggota tentera di barisan depan, nekad memberi sedikit kelonggaran terhadap perkhidmatan yang penting untuk terus beroperasi dalam memastikan ekonomi dapat berjalan ketika PKP masih berlangsung.

Hasilnya? Masih tiada 1 kes, atau kluster baru daripada perkhidmatan ini yang dijangkiti Covid-19. Ini patut diberi pujian.

Langkah ini wajar diteruskan untuk perkhidmatan yang lain secara berperingkat demi kelangsungan ekonomi tanpa mengabaikan cara pelaksanaan yang sama – penjarakkan sosial, tiada kontak secara terus, dan keperluan memakai topeng merupakan perkara yang wajib dipatuhi jika ingin terus beroperasi.

Ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban majikan daripada pendapatan sifar, seterusnya memberi peluang untuk majikan mengekalkan pekerja dan secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran.

Selain itu, pelan pemulihan ekonomi perlu diwujudkan dengan segera meliputi pelan jangka masa pendek, sederhana, dan panjang untuk mempelbagaikan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baru.

Pelan ini harus merangkumi pemerkasaan sekuriti makanan, penyediaan platform transformasi digital seperti Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR), pembangunan teknologi hijau dan lain-lain lagi.

Bagi individu pula, peningkatan kelas-kelas dalam talian percuma yang wujud semasa PKP perlu diambil dan digarap, seperti yang ditawarkan Universiti Harvard (hot link ‘Universiti Harvard’ https://online-learning.harvard.edu/catalog), untuk meningkatkan kemahiran yang sedia ada sebagai persediaan dan sokongan tambahan dalam mencari pekerjaan kelak.

Selepas PKP

Kita masih tidak dapat mengetahui sejauh manakah tahap dan intensiti wabak Covid-19 yang disebabkan virus SARS Cov-II, namun apa yang pasti, apabila PKP berakhir, krisis Covid-19 akan terus menghantui dalam pelbagai aspek.

Ramai mengharapkan ekonomi global akan kembali pulih dalam bentuk “V”, di mana kejatuhan ekonomi berlaku ketika semua orang diperintahkan untuk tidak keluar dari rumah, dan apabila mereka dibenarkan untuk keluar rumah semula, ekonomi akan terus melonjak naik.

Namun realitinya, bagi pendapat penulis, ekonomi akan pulih dalam bentuk “W”, di mana selepas PKP berakhir, ekonomi akan pulih untuk sementara, namun akan jatuh kembali kerana bebanan hutang yang tertangguh kembali menghantui, dan meningkat semula selepas ekonomi dapat berjalan seperti sediakala.

Amir Jalal adalah pegawai penyelidik di EMIR Research.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.