Pelajar Sabah yang pulang dikuarantin di rumah, arah Shafie Apdal

Pelajar Sabah yang pulang dikuarantin di rumah, arah Shafie Apdal

Ketua menteri mengarahkan pelajar Sabah yang pulang dari Semenanjung dan Sarawak tidak perlu dikuarantin di pusat.

Pelajar mendaftarkan diri di Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman.
KOTA KINABALU:
Pelajar Sabah yang pulang dari Semenanjung dan Sarawak dikecualikan daripada menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin.

Ketua Menteri Shafie Apdal mengeluarkan arahan itu hari ini dan mengarahkan pelajar terbabit menjalani kuarantin di rumah.

“Ibu bapa atau penjaga hendaklah bertanggungjawab mematuhi prosedur yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Shafie berkata pelajar dengan gejala akan diarahkan ke pusat kuarantin berdasarkan penilaian dan syor pihak berkuasa kesihatan.

Perkembangan ini menyusuli saranan Kementerian Kesihatan agar semua pelajar Sabah dan Sarawak dihantar ke pusat kuarantin, lebih baik di Kota Kinabalu dan Kuching, walaupun sudah menjalani kuarantin 14 hari di tempat lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata risiko kekurangan kemudahan kesihatan sekiranya pelajar dari luar bandar dihantar terus ke rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.