Kerajaan benar kenderaan persendirian bawa maksimum 4 ahli keluarga

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan kenderaan persendirian hanya dinaiki 4 ahli keluarga dalam satu-satu masa.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan peraturan itu dilaksanakan ketika tempoh Perintah Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei.

“Bagi kenderaan persendirian tidak ada isu melibatkan ahli keluarga dari rumah sama, sebab penjarakkan sosial tidak berlaku dalam rumah setiap keluarga, oleh itu kerajaan membenarkan.

“Kenderaan persendirian maksimum 4 orang mestilah keluarga sama dari rumah sama. Saya percaya ada yang bawa kawan-kawan, ada yang akan ingkar jadi pesan saya bahawa SOP mesti dipatuhi,” katanya ketika sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata hanya separuh penumpang daripada kapasiti sebenar dalam pengangkutan awam dibenarkan sepanjang PKPB bagi memastikan penjarakkan sosial dipatuhi orang ramai.

Katanya, garis panduan itu terpakai untuk semua pengangkutan awam membabitkan bas dan tren termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT).

“Esok kakitangan awam dan swasta akan mula bertugas dan semua perkhidmatan pengangkutan awam akan mula beroperasi seperti sebelum PKP bagi memudahkan perjalanan warga kerja ke tempat kerja masing-masing.

“Namun pengguna dan pengendali perkhidmatan harus mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan seperti penjarakkan sosial dalam kenderaan awam.

“Sebagai contoh jika bas boleh memuatkan 40 penumpang maka kenderaan itu hanya boleh mengambil 20 penumpang sahaja sewaktu PKP, begitu juga LRT atau MRT hanya boleh bawa separuh dari jumlah yang dipenuhi dalam setiap gerabak. Untuk tempat berdiri juga akan ditanda,” katanya.

Ismail berkata, pihak berkuasa juga akan memantau kepatuhan SOP.

“Keutamaan kita memantau pematuhan PKPB, pematuhan SOP,” katanya.