
COX’S BAZAR/BANGKOK: Pelarian Rohingya, Shahab Uddin menyangka bot pukat tunda yang dinaikinya pada Februari lalu tiketnya keluar dari sebuah kem di Bangladesh untuk kehidupan lebih baik di Malaysia.
Sebaliknya, pelayaran itu hampir membunuhnya.
Lelaki berusia 20 tahun itu antara 400 pelarian yang diselamatkan, kebuluran, kurus kering, dan trauma selepas kapal dinaiki gagal sampai Malaysia dan hanyut berminggu-minggu sebelum kembali semula ke Bangladesh pada pertengahan April.
Ratusan lagi pelarian terkandas atas sekurang-kurangnya 2 lagi kapal pukat tunda, kata kumpulan hak asasi, ketika kerajaan di Asia Tenggara memperketatkan kawalan sempadan bagi mengekang Covid-19, dikhuatiri akan menyebabkan krisis kapal 2015 yang mengorbankan ratusan pelarian berulang.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meminta pihak berkuasa membenarkan kapal-kapal itu mendarat, tetapi sentimen anti-pelarian sedang meningkat di Malaysia dan kerajaan-kerajaan berkata sempadan ditutup untuk mencegah koronavirus.
Dalam temubual dengan Reuters, 7 mangsa yang terselamat dari kapal yang diselamatkan mengimbau pengalaman 2 bulan yang mengerikan.
Dianggarkan bilangan orang yang mati atas kapal antara beberapa dozen hingga lebih 100 orang – tiada sesiapa yang menghitung bilangannya – tetapi kenyataan mereka konsisten.
Pelarian yang terselamat menggambarkan ratusan lelaki, wanita, dan kanak-kanak bersesak atas kapal, tidak dapat bergerak, mencangkung dalam hujan dan terik matahari, dan apabila makanan dan air habis, mereka mula mati kebuluran, kehausan, dan dipukul, mayat dilempar keluar. Ada yang menangis ketika bercerita.
“Saya sangka saya tidak akan pulang hidup-hidup,” kata Uddin. “Saya merindui keluarga, terutama ibu bapa.”
Kumpulan Fortify Rights dalam kenyataan minggu lepas berkata pengendali bot itu “menempatkan mangsa mereka dalam keadaan sama seperti perhambaan untuk tujuan eksploitasi”.
Reuters tidak dapat mengenal pasti atau menghubungi anak kapal untuk mendapatkan komen.
Amnesty International menggesa kerajaan-kerajaan melindungi pelarian Rohingya yang terkandas dan membenarkan mereka mendarat. Dianggarkan lebih 800 pelarian berada di tengah laut. Beberapa dozen pelarian daripada sebuah kapal mendarat di pantai di selatan Bangladesh pada Sabtu.
Malaysia mempertahankan dasar mengusir kapal. Pihak berkuasa berkata mereka bertindak mengikut undang-undang untuk menjaga kedaulatan negara dan bersedia untuk melakukannya sekali lagi.
Lebih sejuta etnik Rohingya, minoriti beragama Islam dari Myanmar, tinggal di kem di selatan Bangladesh selepas melarikan diri dari wilayah Rakhine yang didiami majoriti penganut Buddha.
Sebilangan besar melarikan diri daripada tindakan keras tentera pada 2017 yang disifatkan PBB dilakukan dengan niat menghapuskan etnik itu. Myanmar menafikannya sebagai penghapusan etnik sebaliknya berkata ia bertindak balas terhadap serangan pemberontak.
‘Lebih baik di Malaysia’
Walaupun etnik Rohingya mengesan keturunan mereka di Rakhine sejak berabad dulu, Myanmar berkata etnik itu pendatang tanpa izin dari Asia Selatan.
Selama bertahun-tahun, etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh melarikan diri dengan kapal ke Thailand dan Malaysia ketika laut tenang antara Oktober dan April. Ratusan mati pada 2015 selepas tindakan keras di Thailand menyebabkan penyeludup meninggalkan orang-orang itu di laut.

Di Bangladesh, Uddin memperoleh sedikit wang dengan memandu “tuk-tuk” tetapi berkata pelarian semakin terkongkong.
Kerajaan negara itu menyekat akses internet dan telefon bimbit dan mula memasang pagar kawat berduri di sekeliling kem, atas alasan keselamatan. Uddin berkata kem itu mula terasa seperti penjara.
“Saya sangka pergi ke Malaysia dengan apa cara sekalipun sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan saya. Ramai yang berjaya ke Malaysia dan menjalani kehidupan lebih baik.”
Uddin berkata dia dan beberapa rakannya menemui seorang lelaki di sebuah bandar kecil yang kemudian membawa mereka dengan bot ke kapal pukat tunda di mana ratusan orang sudah bersesak-sesak di atas kapal – lelaki di bahagian bawah dek, sementara wanita di bahagian atas. Ramai antara wanita muda itu akan berkahwin di Malaysia.
Seorang lagi pelarian, Enamul Hasan, juga berusia 20 tahun, berkata seorang pakcik di Malaysia mendesaknya pergi ke sana. “Saya mahu pergi ke Malaysia untuk mengakhiri kemiskinan keluarga,” katanya.
Enam daripada 7 pelarian yang terselamat dan ditemubual Reuters berkata mereka pergi dengan sukerela. Pelarian ke-7, berusia 16 tahun, berkata dia dibawa oleh seorang lelaki yang tidak dikenali tanpa kerelaannya.
Kesengsaraan bermula sebaik sahaja mereka berangkat.
“Kami tidak makan apa-apa,” kata Uddin. “Anak-anak kecil akan menangis minta air.”
Menangis dan berdoa
Selepas seminggu kapal itu tiba di perairan Malaysia, di mana ia perlu menunggu selama beberapa hari sebelum anak kapal beritahu mereka tidak boleh mendarat dan perlu berpatah balik ke Bangladesh.
Mereka berlayar kembali merentasi Teluk Benggala.
“Kami menghadapi ribut 3 kali,” kata Uddin.
Dia berkata dia dijadikan penguatkuasa untuk anak kapal dan memukul sesiapa yang melampaui batas.
“Jila saya enggan memukul mereka, saya yang akan dipukul,” katanya.
Sementara itu, beberapa penumpang yang terdesak mula minum air laut.
“Dengan rahmat tuhan, air itu terasa manis,” kata Hasan.
“Ramai yang terjun ke dalam air…semua orang berkata lebih baik mati di laut daripada mati atas kapal.”
Pada waktu malam, penumpang saling berpelukan, menangis dan berdoa.
Akhirnya kapal itu berhenti lagi, di perairan Myanmar, kata mangsa yang terselamat, namun sekali lagi tidak boleh berlabuh.
“Orang terus mati dan akan dihumban keluar,” kata Hasan. “Saya mula tertanya-tanya bila saya akan mati.”
Namun pelarian itu akhirnya memaksa kapten kapal membawa mereka kembali ke Bangladesh di mana, pada satu malam, mereka mendarat.
Seorang pengawal pantai di situ ketika itu berkata keadaan semua pelarian itu mengejutkan: “Ramai antara mereka yang kurus-kering, ada yang tidak mampu berdiri.”
Muriel Boursier, ketua misi Doctors Without Borders di Bangladesh, yang menemui mangsa yang terselamat selepas itu, berkata ramai tidak dapat berjalan. Ada yang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga, termenung kosong.
Beberapa mangsa yang terselamat dibawa ke hospital tetapi kebanyakan mereka dibawa ke kem kuarantin, tidak sedar koronavirus melanda semasa mereka berlayar.
“Sukar untuk difahami tidak ada negara yang boleh buka pintu mereka,” kata Boursier.
Uddin berkata ibu bapanya hampir tidak mengenalinya tetapi dia bersyukur dapat kembali, walaupun masa depannya masih kabur.
“Lebih baik mati di sini dari mati di laut,” katanya.