Anwar anggap pelanggan ‘serbu’ pajak gadai bukti kesusahan rakyat

Anwar anggap pelanggan ‘serbu’ pajak gadai bukti kesusahan rakyat

Anwar Ibrahim menegur sikap pihak yang memuji langkah kerajaan melaksanakan PKPB sehingga membolehkan rakyat keluar ke pajak gadai.

Orang ramai kelihatan beratur di salah satu kedai pajak gadai yang tular di media sosial.
PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim menganggap tindakan rakyat menyerbu pajak gadai dipercayai merujuk gambar viral semalam, melambangkan kesusahan rakyat yang terkesan dengan perlaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau juga menegur sikap pihak yang memuji langkah kerajaan melaksanakan PKPB sehingga membolehkan rakyat keluar ke pajak gadai.

Anwar berkata, tindakan rakyat menyerbu pajak gadai perlu dilihat dari sudut kesusahan yang dialami rakyat yang terkesan dengan perlaksanakan PKP akibat ekonomi terjejas.

“Saya tengok ada ulasan, pelik, bangang sungguh, dia kata sebab kita longgar PKP orang boleh beratur pergi pajak gadai, kalau saya sebut bangang kasar pula, ini ke pandangan orang kata cerdik dalam negara kita, kalau nak pertahan kerajaan sampai tidak ada langsung perasaan jiwa, hati nurani.

“Kalau nak sokong kerajaan sokong lah, tapi bila orang beratur di pajak gadai itu orang itu merempat, habis apa yang ada, gelang, subang, mas kahwin, rantai semua pergi pajak gadai, ini maknanya terdesak.

“Simpatilah sikit, ini tidak, boleh kata sebab itu kita lepas PKP, naratif ini kena ubah, orang tak ada hati perut,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Anwar turut menggesa kerajaan mengubah corak pentadbiran dalam meningkatkan ekonomi rakyat.

“Saya pernah sebut dalam ceramah, konvensyen PKP tentang kajian, ia perlu dilihat dari segi pertumbuhan, kesihatan, pendidikan, pendapatan, keselesaan, tapi semua faktor ini dalam tempoh 10 tahun, malang bagi ekonomi negara kita tidak ada perkembangan.

“Buktinya, baru sebulan masalah (PKP), bukan sahaja B40, tapi M40 beratur di pajak gadai, terdesak setelah 1 bulan PKP, kita lihat keadaan ini begitu menekan kehidupan rakyat, apa yang harus dipelajari, maknanya cara kita tadbir negara, cara urus ekonomi harus diubah,” katanya.

Anwar juga menegur tindakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Andul Aziz yang terlalu cepat bermain propaganda memberi harapan kepada rakyat bahawa pertumbuhan ekonomi akan lebih baik tahun depan.

“Ini angka memukau, kononnya pertumbuhan ekonomi begitu dan begini, menteri kewangan kata pertumbuhan memberangsangkan tahun depan, cepat sangat buat propaganda, tapi di pajak gadai orang beratur.

“Selepas Covid-19 ini, kita mesti tonjolkan barisan kepimpinan yang mampu lihat sistem ekonomi yang tidak menekan kepada rakyat,” katanya,

Semalam tular beberapa gambar, di mana hari pertama PKPB menyaksikan orang ramai mula menyerbu kedai pajak gadai di beberapa lokasi sekitar bandar raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.