Sebahagian kawasan di Selayang, Chow Kit dikenakan PKP ‘separa ketat’

Sebahagian kawasan di Selayang, Chow Kit dikenakan PKP ‘separa ketat’

Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, serta sebahagian daripada Chow Kit di Jalan Raja Bot dikenakan perintah itu.

Anggota tentera mengawal di sekitar Taman Wilayah di Selayang selepas kawat duri dipasang sekitar kawasan itu malam tadi.
PETALING JAYA:
Dua kawasan di Kuala Lumpur dikenakan perintah kawalan pergerakan “separa ketat” bagi memudahkan ujian saringan Covid-19 dijalankan secara besar-besaran ke atas penduduk setempat.

Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, serta sebahagian daripada Chow Kit di Jalan Raja Bot dikenakan perintah itu sejak 6 pagi tadi.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara berkata penduduk masih dibenarkan keluar masuk kawasan itu jika mereka mempunyai alasan sah.

“Perniagaan beroperasi seperti biasa,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perintah itu bertujuan membolehkan pihak berkuasa menjalani ujian saringan ke atas semua penduduk dan pekerja asing.

Katanya, pihak berkuasa berbincang dengan penduduk di Selayang sebelum melaksanakan perintah itu.

“Hanya di Chow Kit, ia dirancang tanpa pengetahuan penduduk.”

Santhara berkata, hanya kawasan kecil di sekitar pasar Chow Kit akan terjejas.

“Warga asing tanpa dokumen tidak akan dibenarkan keluar untuk memudahkan proses saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan.”

Beliau berkata, disebabkan ramai yang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur tinggal di Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti, mereka mungkin menjadi kontak rapat kepada kes positif daripada Parcel D.

Oleh itu, katanya, KKM meminta kawasan itu disaring.

Beliau berkata, kawasan di Chow Kit pula akan menjalani pemeriksaan seperti yang dilakukan di Kampung Baru 2 minggu lalu.

“Itu berakhir 3 hari lalu.”

Katanya, tiada makanan akan diberikan kepada penduduk di kawasan PKP separa ketat kerana mereka masih boleh keluar masuk.

“Kedai juga dibuka di bawah peraturan PKP.”

Beliau berkata, kawasan itu di bawah pemantauan polis untuk memudahkan ujian saringan dijalankan kerana hanya 10% penduduk disaring setakat ini.

“Ini untuk memastikan tiada lagi kes positif di kawasan itu.”

Pihak berkuasa akan melakukan sekatan jalan di kawasan yang dikenakan PKP separa ketat untuk memeriksa individu yang keluar masuk kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.