
Terdapat 400 pekerja di tapak pembinaan itu, dengan kebanyakannya warga asing.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara berkata 28 pekerja asing itu dimasukkan ke hospital dengan segera.
“Selebihnya menjalani kuarantin ketat di sebuah hotel.
“Semua kos akan ditanggung pemaju dan kontraktor utama,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pihak berkuasa akan memeriksa setiap individu di kawasan yang dikenakan PKP ketat disasarkan.
“Sama seperti apa yang kami lakukan di flat PPR di Kampung Baru. Hanya kediaman terjejas yang dikenakan sekatan dan mereka dibantu pihak berkuasa.”
Santhara berkata, terdapat 1,200 tapak pembinaan di Kuala Lumpur.
Katanya, Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan sudah mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan menjalankan ujian saringan ke atas semua pekerja binaan menjelang 12 Mei ini.
“Ini perlu dilakukan sebelum syarikat menyambung semula operasi.”
Katanya, perintah baru PKP itu dilaksanakan untuk memastikan impak terhad ke atas aktiviti ekonomi, membenarkan perniagaan beroperasi dan rakyat boleh bergerak, tetapi penduduk diawasi pihak berkuasa.
Beliau berkata, Kuala Lumpur kekal sebagai tempat “sangat dinamik” dan pihak berkuasa perlu mencari jalan lain untuk menangani kes positif.