
Pengarah Pendakwaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Julia Ibrahim berkata hakim mahkamah bawahan menjatuhkan hukuman 1 hari hingga 2 bulan penjara terhadap pesalah.
Beliau berkata denda juga antara RM500 hingga RM1,000.
“Pendakwaan belum memfailkan rayuan atau memohon semakan sebarang kes setakat ini kerana majistret menggunakan budi bicara mengikut kes secara berasingan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata juga tiada kes pesalah merayu atau hakim Mahkamah Tinggi atas kehendak sendiri meminta fail untuk semak kes.
Julia menjawab pertanyaan adakah pendakwaan merayu kes anak perempuan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dan menantunya yang minggu lepas didenda RM800 kerana melanggar PKP.
Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan Saiful Nizam Mohd Yusoff membayar denda selepas mengaku bersalah di depan majistret di Putrajaya.
Penalti melanggar PKP adalah denda maksimum RM1,000, penjara 6 bulan, atau kedua-duanya.
Orang awam, termasuk ibu tunggal B Lisa Christina, mempersoalkan keputusan mahkamah mendenda Nurul dan Saiful.
Dalam kes Lisa, seorang majistret di Petaling Jaya mengenakan hukuman penjara 30 hari terhadapnya tetapi ia digantikan dengan denda RM1,000 susulan semakan di Mahkamah Tinggi.
Lisa berada di penjara selama 8 hari sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar, yang mendakwa dalam kes Nurul dan Saiful, meminta hukuman mencegah termasuk pemenjaraan.
Julia berkata pada awalnya, tidak banyak kes dirujuk ke mahkamah di Putrajaya dan Kuala Lumpur apabila PKP berkuatkuasa pada 18 Mac.
“Kemudian, kita ada antara 20 dan 60 kes sehari untuk pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata pegawainya menghantar laporan PKP harian ke Jabatan Peguam Negara untuk pengawasan.
“Setakat ini, tiada arahan untuk memfailkan rayuan atau memohon semakan terhadap kes Nurul dan Saiful. Kita ada 14 hari untuk memfailkan rayuan,” tambahnya.