Majikan swasta kritik bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengkritik keputusan kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam, mengatakan pekerja sektor swasta yang terjejas akibat krisis Covid-19 berhak mendapat lebih banyak bantuan.

MEF berkata mereka yang berada di sektor swasta mengalami pemotongan gaji, pengurangan elaun atau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bayaran bantuan khas seperti itu tidak boleh dilakukan kerana kakitangan kerajaan secara harfiahnya tidak “menderita” apa-apa kerana gaji dan elaun mereka tetap kekal semasa PKP dan PKP bersyarat,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan kepada FMT.

Beliau berkata peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri kehilangan sumber pendapatan ketika PKP.

Bantuan khas itu dibuat kepada penjawat awam termasuk pegawai tetap, sementara dan lantikan kontrak serta mereka yang bergaji penuh, gaji separuh dan cuti tanpa gaji.

Sebelum ini, bos rantaian pasar raya besar, Ameer Ali Mydin meminta penjawat awam berkongsi beban ekonomi dari segi kesan kewangan akibat wabak tersebut.

Ameer, pengarah urusan Mydin berkata gaji kakitangan awam juga patut dikurangkan supaya penjimatan itu dapat digunakan untuk membantu golongan miskin yang paling terkesan dengan pelaksanaan PKP.

“Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer kepada FMT dalam kenyataan yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan penjawat awam di media sosial.