Putrajaya akan dapatkan semula aset RM465.3 juta daripada Riza Aziz

Pelepasan bersyarat Riza Aziz bermakna pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa beliau semula jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

PETALING JAYA: Putrajaya dijangka mendapatkan kembali aset dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta) selepas penerbit Hollywood, Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pelepasan Riza bersyarat, di mana pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa beliau semula jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

“Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan, iaitu dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.”

Katanya, persetujuan itu dipertimbangkan dan dipersetujui bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Riza, yang berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta, dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjiannya.

Riza yang juga anak Rosmah Mansor, dihadapkan ke mahkamah pada Julai 2019 atas dakwaan menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd.

Dua syarikat itu dikatakan ada kaitan dengan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho.

Riza didakwa menerima wang itu antara April 2011 hingga November 2012 di City National Bank di Los Angeles, California dan juga Bank BSI di Temasek Boulevard, Singapura.

Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai aktiviti haram, mana yang lebih tinggi.