Sabah pula akan tumbang kepada PN?

Sejak Mei 2018, Warisan pimpinan Shafie Apdal menguasai kerajaan Sabah dengan sokongan PKR, DAP dan Upko.

KOTA KINABALU: Susulan munculnya beberapa kenyataan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi bahawa kerajaannya pula akan jatuh berikutan tumbangnya sekutu beliau di Putrajaya Februari lepas.

Ini berikutan langkah pemimpin Warisan, dan juga PKR, DAP dan Upko, yang berada dalam kerajaan negeri, mengisytiharkan sokongan mereka kepada Shafie.

Mereka juga menolak desas-desus mengenai perubahan kuasa di Sabah pada Julai.

Bagaimanapun penganalisis politik negeri, Lee Kuok Tiung mempersoalkan keperluan pemimpin menafikan tentang “desas-desus itu, melainkan ada kebenarannya”.

“Tujuan kenyataan bersama itu dibuat juga pelik, malah ia akan menimbulkan lebih banyak desas-desus,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu kepada FMT.

Wujud spekulasi bahawa 16 Adun akan berubah sokongan kepada parti pembangkang di negeri itu seperti yang berlaku di Kedah, Johor, Perak dan Melaka, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri PH tumbang berikutan kemunculan kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh Perikatan nasional (PN).

Beberapa pemimpin PPBM dan Umno Sabah enggan mengesahkan atau menafikan sama ada mereka terlibat dalam perbincangan mengenai perubahan sokongan itu.

Namun begitu Lee berkata, kemungkinan berlakunya perubahan di Sabah tidak boleh ditolak sama sekali.

Katanya terdapat tanda bahawa landskap politik di negeri itu akan berubah, selain menambah ia juga bergantung pada keputusan perbicaraan kes kesahan jawatan ketua menteri yang difailkan di Mahkamah Persekutuan oleh bekas ketua menteri Musa Aman.

“Selain itu wujud juga pihak yang masih tidak senang dengan pemimpin Warisan yang sebelum ini disiasat kerana rasuah,” katanya.

Dengan 17 kerusi, pembangkang Sabah memerlukan sokongan tambahan sekurang-kurangnya 15 Adun bagi meraih suara majoriti untuk membentuk kerajaan. Pembangkang dikuasai bekas ahli Umno yang berpindah kepada PPBM.

Blok Warisan-PH menguasai 43 kerusi di Dewan Undangan Negeri, termasuk 31 daripada Warisan, 6 DAP, 4 Upko dan 2 PKR.

Sabah menjadi negeri pembangkang pada 1990-an di bawah PBS.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperoleh kuasa berikutan perpindahan Adun pada 1994, iaitu setelah Umno masuk ke Sabah.