Karangkraf dinamakan defendan ke-2 dalam saman fitnah Kit Siang terhadap Hanif Omar

Pada 17 Okt 2018, Lim Kit Siang menyaman Mohammed Hanif Omar kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap pada Konvensyen Karamah Bangsa di UiTM, Shah Alam pada 6 Sept 2018.

KUALA LUMPUR: Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd telah dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman dikemukakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terhadap bekas ketua polis negara Mohammed Hanif Omar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap dalam sebuah konvensyen pada 2018.

Sebelum ini, Lim selaku plaintif menamakan Hanif sebagai defendan tunggal dalam saman itu.

Pada Mac lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Lim untuk memasukkan nama syarikat Sinar sebagai defendan kedua.

Peguam Harshaan Zamani yang mewakili Lim memberitahu pemberita bahawa dalam prosiding semalam, pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon menetapkan 15 Julai untuk mendengar permohonan Lim bagi meminda penyataan tuntutan dalam saman berkenaan bagi memasukkan beberapa penyataan.

Prosiding semalam dibuat melalui aplikasi Skype yang dihadiri peguam utama Lim, Sangeet Kaur Deo dan peguam Muralee Menon yang mewakili Hanif.

Pada 17 Okt 2018, Lim selaku plaintif menyaman Hanif selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap pada Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Sept 2018 yang diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, pada hari yang sama.

Dalam penyataan tuntutannya, beliau mendakwa defendan juga secara salah dan berniat jahat menyebabkan kata-kata fitnah itu disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today pada hari sama (6 Sept) dan keesokannya.

Pemimpin kanan DAP itu mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa beliau bertanggugjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan semenanjung Malaysia kepada 2 bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Plaintif menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kata-kata fitnah tersebut selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kata-kata fitnah berkenaan.