4,000 pemandu teksi belum terima BPN rayu Muhyiddin campur tangan

Pemandu teksi mendakwa mereka tidak mendapat BPN sebanyak RM600.

PUTRAJAYA: Gabungan pemandu teksi hari ini menghantar rayuan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya campur tangan selepas mereka tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM600.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamaruddin Mohd Hussain berkata kira-kira 40,000 pemandu teksi belum menerima bayaran “one-off” RM600 disebabkan pelbagai alasan.

“Sehubungan dengan itu, hari ini kami dari GTSM mewaliki seluruh para pemimpin persatuan dan pemandu teksi dan kereta sewa seluruh negara menghantar surat rayuan secara rasmi kepada perdana menteri untuk mempertimbangkan rayuan kami agar semua pemandu yang tercicir daripada bantuan tersebut diberikan bantuan yang sama,” katanya selepas menyerahkan rayuan di Pejabat perdana Menteri, hari ini.

Beliau mengakui keciciran nama berlaku, antaranya disebabkan isu pemandu sukar memperbaharui kad pemandu mereka di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Ia berpunca terdapat syarikat teksi enggan mengeluarkan surat kebenaran memperbaharui kad pemandu kerana masalah tunggakan.

“Selain itu, ramai yang menyangka kad pemandu tidak lagi diperlukan apabila SPAD dibubarkan, setelah segala urusan penguatkuasaan diletakkan di bawah JPJ, dan sebagai,” katanya.

Kamaruddin berkata, bagi memastikan tidak akan berlaku lagi keciciran, pihaknya mencadangkan kerajaan mengguna pakai data kad pemandu yang tarikh tamat tempohnya tidak melebihi 2 tahun daripada tarikh pelaksanaan PKP atau daripada tarikh 31 Mei 2020.