Kelantan benarkan solat Jumaat tak lebih 12 jemaah mulai esok

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menetapkan khutbah serta solat Jumaat perlu diselesaikan dalam 20 minit selepas azan Jumaat dan jemaah harus meninggalkan ruang solat sejurus selesai solat.

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V membenarkan semua masjid di negeri itu mengadakan solat Jumaat secara berperingkat mulai esok, dengan jumlah jemaah tidak melebihi 12 orang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Temenggong Kelantan, Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata mereka yang dibenarkan terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal, siak serta ahli jawatankuasa masjid.

“Pelaksanaan solat Jumaat itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti ujian saringan suhu, memakai topeng, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta merekodkan kehadiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penjarakan sosial 1m antara jemaah ketika solat juga perlu dipatuhi dan memastikan khutbah serta solat Jumaat diselesaikan dalam 20 minit selepas azan Jumaat.

Beliau turut mengingatkan pegawai dan AJK membawa sejadah serta mengambil wuduk dari rumah sebelum ke masjid dan meninggalkan ruang solat sejurus selesai menunaikan solat Jumaat.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai melakukan solat fardu 5 waktu dan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama ahli keluarga.

“Orang ramai juga tidak digalakkan menziarahi kubur sempena Aidilfitri akan datang dan pihak Maik amat mengharapkan kerjasama orang ramai dalam melaksanakan ketetapan ini.”