Sabah larang ziarah rumah saudara, kubur ketika Aidilfitri

Setiausaha kerajaan Sabah berkata, sepanjang tempoh perayaan, sambutan hanyalah dibenarkan dalam kalangan keluarga tinggal serumah saja yang tidak melebihi 20 orang, bergantung kepada keluasan rumah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ziarah kubur antara 8 aktiviti yang tidak dibenarkan semasa sambutan Aidilfitri di Sabah, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong.

Beliau berkata, 7 lagi aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang Aidilfitri ini ialah berkunjung ke rumah saudara-mara, balik kampung, mengadakan rumah terbuka, solat berjemaah di masjid, kenduri, marhaban dari rumah ke rumah dan berpesta.

“Kerajaan negeri melalui Pusat Arahan Covid-19 Sabah menasihati semua rakyat di negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara semasa sambutan Aidilfitri dan perayaan etnik lain.

“Sepanjang tempoh perayaan, sambutan hanyalah dibenarkan dalam kalangan keluarga tinggal serumah saja dan hendaklah tidak melebihi 20 orang bergantung kepada keluasan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Safar berkata, kerajaan negeri juga berharap dengan pematuhan SOP itu dapat membantu mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.

Katanya, orang ramai dinasihat sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri, selain mengamalkan penjarakan sosial.