Bukan masa sesuai mula semula projek sokongan China, kata pakar ekonomi

Kerja-kerja pembinaan projek ECRL bermula semula pada 28 April lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa Putrajaya menangguhkan projek mega sokongan China sehingga ekonomi mula pulih daripada kesan krisis Covid-19.

Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, kesan pengganda projek mega Inisiatif Belt and Road tidak akan dirasai serta-merta, justeru langkah meneruskannya sekarang tidak bijak.

Kerja-kerja pembinaan projek infrastruktur terbesar di negara ini, iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dimulakan semula pada 18 April selepas kontraktor utamanya China Communications and Construction ECRL, mendapat kelulusan kerajaan.

“Ekonomi di seluruh dunia kini mengalami kemelesetan. Ini bermakna kadar pertumbuhan kita akan menerima kesan buruk,” katanya kepada FMT.

“Langkah yang perlu diambil ialah memulihkan keyakinan kepada ekonomi kita. Ia tidak akan lahir daripada projek yang menerima pelaburan asing yang besar, melibatkan kepakaran asing yang meluas dan tempoh bayar balik yang panjang.

“Memberi fokus kepada projek mega yang bergantung pada dana kerajaan adalah tidak bertanggungjawab.

Katanya, kerajaan perlu fokus kepada projek jangka pendek yang bergantung pada pekerja dan vendor tempatan untuk tempoh 12 akan datang yang memberi manfaat kepada syarikat dan pekerja tempatan.

Teknologi yang boleh membawa kepada kehilangan pekerjaan juga perlu dikemudiankan, katanya.

Bagaimanapun Lee Heng Guie tidak bersetuju dengan berkata, penerusan ECRL akan membantu menghalang kemelesetan ekonomi tempatan daripada menjadi lebih besar.

“China dan Malaysia komited untuk memastikan ECRL menjadi projek usaha sama yang mampan dari segi pengurusan, operasi dan penyelenggaraan landasan kereta api,” katanya, yang mengetuai Pusat Kajian sosio-Ekonomi.

“(Projek) ini serta penciptaan kluster industri dan peluang ekonomi di sepanjang koridor ECRL akan membantu merangsang ekonomi dan rangkaian industri di negeri berdekatan.”

Lee merujuk kepada 7 Pembangunan Berorientasi Transit. Yang merupakan projek pembangunan bandar integrasi di sekitar stesen transit, selain 2 taman industri dan 1 hab logistik di sepanjang laluan ECRL.

Beliau berkata, pentadbiran sebelum ini telah menyemak semula projek infrastruktur awam utama, sekali gus mengurangkan kosnya.

“Untuk kepentingan pelabur, kerajaan baru perlu menjelaskan pendiriannya berkait projek tertangguh bagi mengurangkan ketidaktentuan mengenai statusnya, terutama sekali pada waktu Malaysia dan China mengalami penurunan ekonomi yang teruk.