Pusat pemulihan dadah mohon lanjut masa untuk pindah

Lokasi semasa Persatuan Pengasih Malaysia di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Pusat itu dipindahkan ke Bentong, Pahang.

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat pemulihan dadah merayu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan tabung pelaburan negara Khazanah Nasional lanjutan masa untuk keluar dari lokasi semasanya di Bukit Tunku.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia Ramli Abd Samad memberitahu FMT bahawa persatuan menerima kenyataan mereka perlu berpindah ke lokasi kemudahan baru di Kampung Cinta Manis, Bentong dan akan berbuat demikian apabila ia siap.

Persatuan Pengasih merupakan pusat pemulihan dadah yang diasaskan dan dikendalikan oleh bekas penagih. Ia terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan anak syarikat Khazanah, STLR Sdn Bhd yang merupakan pemilik tanah yang kini dihuni oleh pusat berkenaan.

Ramli berkata, Pengasih pada mulanya bersetuju untuk pindah ke kemudahan baru yang dikatakan lebih baik itu dan diminta berbuat demikian pada 2017.

Bagaimanapun, ia kemudiannya enggan berbuat begitu kerana kemudahan tersebut belum siap. Pertikaian itu membabitkan tindakan undang-undang selepas itu.

Ia berakhir dengan penyelesaian tahun lepas yang menghendaki Pengasih berpindah pada Jun 2020 dan pusat itu perlu melantik kontraktornya sendiri bagi menyiapkan kerja-kerja berbaki kerana kontraktor sebelum itu gagal memenuhi speksifikasi seperti dikehendaki.

Namun Ramli berkata, pusat itu belum siap kerana kerja pembinaan dan inisiatif kutipan derma terpaksa ditangguhkan susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pengarah urusan Khazanah Nasional Shahril Ridza Ridzuan memberitahu FMT bahawa ia memahami kebimbangan Pengasih kerana PKP memberi kesan ke atas semua pihak.

“Saya percaya kami boleh mencapai kompromi yang munasabah dan berikan mereka lanjutan masa. Saya tidak dapat berikan maklumat terperinci kerana ia bergantung kepada cadangan yang akan mereka kemukakan.”

Ramli berkata, pusat baru itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik, sementara bangunannya tidak layak diduduki. “Sijil siap dan pematuhan belum dikeluarkan,” katanya.

Pengurusan Khazanah sebelum ini berjanji untuk menyediakan sebuah pusat pemulihan bertaraf antarabangsa.

“Kami diberitahu bahawa ia merupakan sebuah kemudahan lengkap. Tetapi tidak ada surau, klinik atau dewan serbaguna yang merupakan keperluan penting persekitaran pemulihan yang kondusif.”

Kemudahan itu hanya mempunyai sebuah asrama, kuarters kakitangan, dewan makan dan pejabat.

Ramli berkata, pusat itu memerlukan kira-kira RM4 juta. Setakat ini ia berjaya mengumpulkan RM250,000.

“Kami berharap PM dan Khazanah Nasional berikan lanjutan masa. Kami bersetuju pindah. Kami mahu pindah ke kemudahan yang telah siap. Kami hanya perlukan lanjutan masa sehingga ia benar-benar siap,” katanya.