
PETALING JAYA: Seorang peguam hak asasi mendesak Putrajaya supaya memberi pengampunan kepada pendatang asing tanpa izin dengan berkata, ia akan mendorong mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19.
Zaid Malek, yang juga koordinator untuk kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty, menyuarakan kebimbangan berhubung laporan FMT bahawa pendatang tanpa izin melarikan diri ke dalam hutan dalam usaha mengelak daripada dibawa ke pusat tahanan, yang melaporkan peningkatan jangkitan.
Pihak berkuasa juga bertindak keras terhadap pendatang tanpa dokumen, tetapi Zaid berkata, serbuan berkenaan mempunyai kesan sampingan.
“Untuk menangkap beberapa ratus, anda kehilangan kerjasama berjuta-juta pendatang tanpa dokumen,” katanya kepada FMT.
“Inilah sebabnya mengapa kami mendesak kerajaan supaya memberi pengampunan untuk memastikan kerjasama mereka dalam menjalani ujian Covid-19.”
Serbuan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dibuat walaupun sebelum ini terdapat jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil ke atas pendatang asing tanpa izin ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), yang dikuatkuasakan pada 18 Mac.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pada 2 Mei operasi membabitkan polis, pihak berkuasa imigresen, angkatan tentera dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tiada pendatang tanpa izin yang meninggalkan zon yang dikenal pasti dan menyebarkan virus ke lokasi lain.
Namun Zaid berkata tindakan keras itu akan menimbulkan ketakutan dalam kalangan pendatang dan menyebabkan mereka melarikan diri tanpa sebarang dorongan untuk bekerjasama.
Beliau menambah pendatang yang ditangkap akan ditempatkan di pusat tahanan yang akan menyebabkan mereka berisiko dijangkiti Covid-19.
“Sebarang peningkatan kes dalam kalangan pendatang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia kerana barisan depan kita yang menguruskan mereka di pusat tahanan juga akan terdedah.”
Zaid berkata, kerajaan pernah memberi pengampunan kepada pendatang tanpa izin banyak kali sebelum ini, dengan merujuk kepada program “Back for Good” yang dijalankan tahun lalu.
Di bawah program itu, yang dilaksanakan dari Ogos sehingga Disember, warga asing yang ingin pulang ke negara mereka harus mendapatkan dokumen pengenalan diri daripada kedutaan masing-masing, membayar kompaun sebanyak RM700 dan menunjukkan tiket penerbangan pulang.
“Kerajaan mempunyai kapasiti untuk melakukannya,” kata Zaid. ” Dengan ancaman Covid-19, keperluan itu lebih besar.”
Beliau berkata fokus dalam memerangi virus itu ialah mendorong pendatang tampil untuk menjalani saringan.
“Kunci untuk kerjasama ini ialah hubungan baik, dan itu akan datang dengan memberi pengampunan.”