Masih pengerusi PPBM, kata Dr M dari ibu pejabat parti

Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan beliau masih pengerusi PPBM, pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu.

Di hadapan puluhan media yang menunggunya keluar dari bilik pengerusi parti, Mahathir berkata beliau terkejut apabila mendapat surat memaklumkan pengguguran keahliannya daripada Setiausaha Kerja Muhammad Suhaimi Yahya, yang dibantah sebagai tidak sah.

“Insiden ini agak pelik. Hal ini kerana setiausaha kerja tidak ada dalam perlembagaan parti, dia tidak ada kuasa apa-apa pun. Dia hanya menerima arahan daripada saya. Jika tidak, dia tidak ada kerja apa-apa,” kata Mahathir di bilik mesyuarat parti itu.

“Terkejut juga saya. Saya dibuang oleh setiausaha kerja. Bukan saya sahaja tetapi ada 4 orang lain. Barulah saya sedar setiausaha kerja orang yang berkuasa, dia boleh pecat sesiapa sahaja.”

Terdahulu, satu video dimuat naik di Facebook memaparkan Mahathir menunggu mereka yang mahu memecatnya di pejabat pengerusi parti.

Semalam, dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya, keahlian Mahathir dihentikan serta-merta selepas mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Turut digugurkan anaknya, Mukhriz, serta Syed Saddiq, Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah.

Mereka dalam kenyataan bersama membantah pengguguran itu, mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang parti dan parti secara tidak langsung menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan.

Sementara itu, Mahathir mengumumkan, selaku pengerusi parti, Suhaimi dilucutkan sebagai setiausaha kerja serta-merta, dan dia tiada lagi hak untuk buat apa-apa kerja atas nama PPBM atau menulis surat menggunakan lambang parti itu.

“Saya hendak jumpa setiausaha kerja dan tanya apakah kuasa dia. Entah macam mana dia kata tidak mahu jumpa saya. Maka setiausaha kerja sudah melangkaui parti.”

Mahathir juga memaklumkan pelantikan Shazmi Miah “dari Kelantan” sebagai setiausaha kerja baru.

“Itulah keadaannya sekarang ini,” katanya.