DAP gesa siasat dakwaan pemimpin Umno ditawar jawatan kerajaan

Ramkarpal Singh berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika rakaman audio itu tulen.

PETALING JAYA: DAP menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditawarkan PPBM kepada pemimpin Umno.

Pengerusi Biro Undang-undangnya, Ramkarpal Singh berkata tawaran itu jika benar, ialah satu bentuk rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Satu rakaman audio yang tidak disahkan mendakwa Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mahu menarik pemimpin Umno menyertai partinya dengan menjanjikan jawatan kerajaan yang tersebar di media sosial semalam.

Rakaman itu didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Feb lalu – sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM.

“Jika rakaman itu terbukti tulen, ia mungkin menyebabkan mereka yang menawarkan dan mereka yang terima rasuah itu didakwa di mahkamah kerana terbabit dalam amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut rakaman itu, Muhyiddin menggalakkan pemimpin PPBM cuba meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menyokongnya. PPBM akan menjadi parti Melayu terbesar dalam kerajaan jika mereka berjaya, beliau didakwa berkata demikian.

FMT sedang menunggu respons setiausaha akhbar Muhyiddin.

Mesyuarat itu diadakan sebelum “Langkah Sheraton”, di mana ahli Parlimen daripada Umno, PAS, PPBM dan beberapa lagi daripada PKR berkumpul di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, yang disusuli kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

PPBM meninggalkan PH selepas Mahathir meletak jawatan keesokannya, menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional – diketuai Muhyiddin dan terdiri daripada ahli Parlimen PAS serta Umno – dibentuk.

Ramkarpal berkata, tawaran jawatan menteri atau GLC kepada ahli Parlimen dalam PN “nampaknya berlaku sejak PN mengambil alih kerajaan” dan “konsisten dengan apa yang dikatakan dalam rakaman itu”.

Katanya, ini menguatkan kemungkinan rakaman itu adalah tulen.

“Rakyat berhak tahu jika rakaman itu tulen dan sama ada ahli Parlimen dalam PN ditarik untuk menyertai PN, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH dipilih secara demokratik.”

Dalam keadaan itu, ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menggesa Peguam Negara, Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memulakan siasatan telus sama ada rakaman itu tulen.