Upko, PKR ‘orang suruhan’ Warisan, kata pembangkang Sabah

Forum untuk mencari penyelesaian terhadap masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah mendapat kritikan pemimpin PKR Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sebuah parti pembangkang hari ini menuduh PKR Sabah dan Upko sebagai “orang suruhan” kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan.

Jalumin Bayogoh, timbalan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata serangan pemimpin PKR dan Upko terhadap Presiden STAR Jeffrey Kitingan menunjukkan mereka hanya bertindak sebagai jurucakap Warisan.

Kitingan mengumumkan satu forum untuk mencari penyelesaian terhadap masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, namun diserang pemimpin PKR Sabah Kenny Chua dan Setiausaha Agung Upko Nelson Wences Anggang.

Jalumin berkata serangan itu “ironis” dan “lucu” kerana kedua-dua parti itu tidak membahas masalah lama mengenai pendatang asing tanpa izin tetapi terpaksa mempertahankan kerajaan negeri yang dipimpin Warisan.

Timbalan Presiden STAR Jalumin Bayogoh.

“Kenny Chua, naib ketua PKR Sabah merangkap pembantu menteri kewangan secara ironis mengulangi bahawa penyelesaian tetap untuk masalah pendatang tanpa izin di Sabah adalah menghantar pulang PATI dan memperkenalkan IC Sabah.”

Jalumin berkata Upko dan PKR Sabah juga tidak membantah ketika bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong, dari Warisan, secara terang-terangan membantah pengwujudan IC Sabah,” kata Jalumin.

Jalumin berkata Kementerian Dalam Negeri berkata pas sementara Sabah (PSS) adalah inisiatif kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan.

Beliau berkata Upko meminta sokongan untuk PSS dan Presidennya Wilfred Madius Tangau, dilaporkan berkata warga asing akan diberi kewarganegaraan.

Jalumin berkata, Tangau kini menggunakan sentimen masyarakat selepas berdiam diri sebelum ini.

Kerajaan pimpinan Warisan membatalkan rancangan untuk memperkenalkan PSS selepas parti itu kalah dalam pilihan raya kecil Kimanis selain dikritik banyak pihak.