18 maut akibat badaian ribut Amanda di Amerika Tengah

Seorang lelaki berusaha menyelamatkan barangnya selepas ribut Amanda membadai rumahnya. (Gambar AP)

SAN SALVADOR: Pekerja kecemasan mencari 7 orang yang masih hilang pada Isnin, ketika El Salvador dan negara jirannya di Amerika Tengah berdepan kemusnahan akibat badaian ribut Pasifik yang menyebabkan sekurang-kurangnya 18 maut.

Pasukan penyelamat cuba mencari mangsa hilang dalam banjir yang berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang yang dibawakan ribut Amanda dari Lautan Pasifik, kata Menteri Dalam Negeri El Salvador, Mario Duran.

“Kita mempunyai 15 orang mati dan 7 yang hilang,” kata Duran kepada wartawan.

El Salvador paling terjejas akibat Amanda, yang mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan gangguan bekalan elektrik di negara Amerika Tengah yang miskin.

Saki-baki ribut itu kemudiannya melanda Guatemala pada Ahad, di mana hujan lebat mengorbankan 2 orang, lapor penyelaras bencana negara itu, David de Leon.

Katanya, seorang daripada mangsa korban itu ialah kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun yang hanyut dalam banjir di pantai Caribbean, sementara seorang lagi terbunuh dalam runtuhan rumah di timur laut Bandar Guatemala.

Seorang terkorban di Honduras, sementara pihak berkuasa melaporkan tanah runtuh dan banjir di beberapa kawasan negara itu.

Presiden El Salvador, Nayib Bukele mengisytiharkan darurat selama 15 hari untuk menangani kesan ribut itu yang dianggarkan menyebabkan kerosakan berjumlah AS$200 juta (RM859.2 juta).

Banjir turut menghanyutkan kenderaan di kawasan sekitar dan merosakkan kira-kira 200 rumah, kata Ketua Perkhidmatan Perlindungan Awam, William Hernandez.

Tentera dan pekerja perlindungan awam memindahkan kira-kira 7,225 penduduk dari kawasan berisiko tinggi ke 154 pusat perlindungan di seluruh negara.

Kementerian Alam Sekitar berkata, hujan membawa sehingga 500mm air, hampir 1/3 daripada kadar purata tahunan 1,800mm.

Banyak kawasan terputus bekalan elektrik atau air minuman dan berdepan kemungkinan tanah runtuh.

“Ribut itu menunjukkan betapa lemahnya negara ini serta kekurangan pelaburan dalam infrastruktur,” kata Duran.

Sebahagian besar wilayah di negara itu dan 6.6 juta penduduknya dianggap mudah terdedah kepada bencana akibat cuaca.