Catatan FB penahanan Pemuda PPBM, SPRM buat laporan polis

SPRM berkata, penahanan anggota Pemuda PPBM adalah berkaitan dengan siasatan mengenai kehilangan wang seorang pemimpin parti itu.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis mengenai catatan di media sosial yang mendakwa beberapa ahli Pemuda PPBM ditahan berhubung rakaman audio didakwa membabitkan presiden parti itu Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Catatan itu didakwa dibuat oleh anggota Pemuda PPBM Ulya Aqamah Husamudin, yang mendakwa SPRM menahan Adam Mukhriz, Hannan Khairy, Redzuan Shafi dan Daniel Khusairi atas tujuan politik dan tanpa mengikut prosedur serta undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali menafikan tuduhan itu, dengan berkata, penahanan itu dibuat berkaitan siasatan kes kehilangan wang seorang pemimpin PPBM.

“Ini merupakan suatu tohmahan berbaur fitnah dan saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa siasatan SPRM bukan bermotifkan politik, tetapi berkaitan kes kehilangan wang seorang pemimpin serta dakwaan penyelewengan dalam akaun PPBM,” katanya.

Norazlan berkata, beliau berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu berkenaan.

Terdahulu, SPRM mengesahkan penahanan seorang pemimpin Pemuda PPBM yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes kehilangan wang.

Dilaporkan sebelum ini, SPRM melancarkan siasatan berikutan aduan berkaitan kehilangan wang tunai sebanyak RM250,000 milik bekas ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditangkap di ibu pejabat SPRM dan direman selama 4 hari untuk membantu siasatan.