Harga tiket penerbangan tak bantu pelancongan, kata Matta

Ramai merancang untuk pulang ke kampung halaman selepas sekatan ke atas perjalanan rentas negeri ditarik balik.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan dalam bidang pelancongan bimbang dengan harga tiket penerbangan domestik yang mahal, mengatakan ia akan menyukarkan pemulihan sektor itu.

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) beritahu FMT kesannya dirasai pelancongan domestik yang melibatkan penerbangan, seperti perjalanan antara Malaysia Barat dan Timur.

“Sabah dan Sarawak sangat bergantung pada pelancong domestik dari Semenanjung,” kata Presiden Tan Kok Liang.

Beliau mencadangkan kerajaan di 2 negeri itu menarik balik beberapa sekatan perjalanan bagi mengalakkan pelancongan walaupun dengan kos perjalanan yang mahal.

“Mereka perlu menarik balik sekatan seperti syarat pelawat perlu menjalani ujian Covid-19 di tempat asal mereka 3 hari sebelum masuk negeri,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pada Isnin berkata syarikat penerbangan menaikkan harga tiket kerana membawa bilangan penumpang yang lebih kecil dan terbang separuh kosong.

Katanya, kerajaan faham tambang udara mahal kerana penjarakkan sosial menyebabkan kapasiti penumpang dikurangkan kepada 66%.

Beliau berkata penerbangan memohon untuk memenuhkan kapasiti penumpang. Alasan mereka, katanya, semua butiran penumpang ada dalam manifes penerbangan dan penumpang boleh dihubungi sekiranya Covid-19 dikesan.

Tan bersetuju dengan alasan syarikat penerbangan. “Badan penerbangan antarabangsa ada bukti yang mencadangkan risiko jangkitan dalam pesawat adalah rendah.”

Beliau berkata tambang udara dijangka meningkat 50% berdasarkan kapasiti penumpang yang dibenarkan.

Isu itu menjadi perbualan di media sosial. Orang ramai mengadu tiket dijual pada harga yang tinggi.

Ramai rakyat merancang untuk pulang ke kampung halaman selepas sekatan perjalanan rentas negeri ditarik balik bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan.