IWK gantung kontraktor cemar alam sekitar serta-merta

Pada 6 Jun, Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan IWK mengambil tindakan segera ke atas aduan orang ramai berhubung aktiviti pelupusan enapcemar di kawasan terbiar di Bukit Damar, Cyberjaya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menggantung serta-merta perkhidmatan kontraktornya yang didapati membuang enapcemar kumbahan di kawasan terbiar di Bukit Damar, Cyberjaya baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutif IWK Narendran Maniam berkata, subkontraktor syarikat Zennessy Park Sdn Bhd didapati secara tidak bertanggungjawab membuang bahan itu di kawasan yang bukan ditetapkan oleh IWK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Syarikat itu dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan diarahkan untuk membersihkan kawasan yang dicemari dalam masa 24 jam. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kontrak bersama IWK ditamatkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerja-kerja pembersihan siap sepenuhnya semalam.

Pada 6 Jun, Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan IWK mengambil tindakan segera ke atas aduan orang ramai berhubung aktiviti pelupusan enapcemar di kawasan terbiar di Bukit Damar, Cyberjaya.

Narendran berkata IWK mewajibkan semua kontraktornya memasang Sistem Pengawasan Kenderaan pada semua kenderaan mereka bagi mengesan pergerakan kenderaan, sekali gus dapat mengenal pasti kenderaan yang tidak memenuhi perjalanan lengkap ke kawasan pelupusan yang ditetapkan.