Bekas konsultan dapat pampasan RM221,000 selepas dibuang kerja

Mahkamah Perusahaan berkata, berlaku pelanggaran asas kontrak pekerjaan antara bekas konsultan K Theva dan bekas majikannya. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Perusahaan mengarahkan RM221,250 dibayar kepada seorang bekas konsultan yang dipecat secara terancang.

Pengerusi tribunal itu, D Paramalingam mengarahkan Matrix Power Network Sdn Bhd membayar pampasan RM30,000 kepada K Theva Pragash sebagai ganti pengembalian jawatan kepadanya.

Beliau turut mengarahkan pembayaran “backwages” sebanyak¬†RM191,250 selepas ditolak 15% kerana Theva bekerja di tempat lain selepas dipecat.

Dalam keputusan sepanjang 39 halaman, Paramalingam berkata, menghantar Theva kembali bekerja dengan bekas majikannya tidak wajar kerana kepercayaan antara kedua-dua pihak sudah hilang sepenuhnya.

Katanya, mahkamah mendapati Theva yang diwakili S Muhendaran dan Chong Wan Loo, berjaya membuktikan pelanggaran asas terhadap kontrak pekerjaan yang membolehkannya menuntut pemecatan terancang.

Syarikat itu, katanya, juga gagal mematahkan tuntutan Theva berhubung pemecatan terancang itu.

Paramaligam berkata, mahkamah mendapati syarikat itu menangguhkan pembayaran caruman Perkeso, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemotongan cukai pendapatan Theva.

Katanya, syarikat itu juga gagal membayar gajinya dari Februari 2018 hingga 15 Mei tahun sama.

“Mahkamah mendapati berlaku pelanggaran asas kontrak pekerjaan pihak menuntut apabila syarikat itu menangguhkan pembayaran jumlah tertunggak RM40,152.25 ketika beliau diberikan notis pemecatan terancang pada 20 Ogos 2018.”

Paramalingm berkata, mahkamah mendapati syarikat itu sudah memadamkan akaun e-mel dan gagal menyediakan tempat kerja bagi Theva.

“Tindakan sedemikian membuktikan niat syarikat itu untuk memecat pihak menuntut.”

Katanya, syarikat itu juga berhasrat membuang status pihak menuntut sebagai pekerja tetap, namun memberi tawaran undur tarikh bagi kontrak setahun sebagai konsultan.

Theva dilantik sebagai konsultan selama 2 tahun mulai 1 Feb 2016 dan kemudiannya ditawarkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah anak syarikat itu, MX Energy Services Sdn.