Jangan guna semula topeng pakai buang, nasihat MMA

Pemakaian topeng wajib bagi sesetengah sektor di bawah PKPP.

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang dengan keputusan mewajibkan penggunaan topeng sebagai langkah pencegahan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) kerana rakyat mungkin menggunakan semula topeng pakai buang yang harganya tidak murah.

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran menggesa orang ramai tidak menggunakan semula topeng pakai buang.

“Rakyat boleh memilih topeng kain guna semula yang banyak dijual di pasaran.”

Katanya, kedua-dua jenis topeng itu perlu digunakan dengan betul.

“Topeng pakai buang patut hanya digunakan sekali dan dibuang selepas digunakan, manakala topeng kain boleh guna semula perlu dicuci dan dikeringkan sebelum digunakan semula.

“Pastikan untuk melabur dalam topeng boleh guna semula yang berkualiti baik. Kain nipis tidak akan memberi perlindungan mencukupi.”

Baru-baru ini, kerajaan membenarkan pengangkutan awam beroperasi sepenuhnya semula, walaupun langkah keselamatan seperti pemeriksaan suhu dan memakai topeng masih dikuatkuasakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, berkongsi kenderaan turut dibenarkan, dengan individu daripada isi rumah berlainan dibenarkan berkongsi kenderaan sama. Tetapi, jumlah penumpang terhad kepada kapasiti kenderaan itu.

“Semua orang juga perlu memakai topeng di dalam kereta,” katanya.

Seorang pakar dalam perubatan pencegahan dari Universiti Malaya (UM), Dr Moy Foong Ming, berkata topeng pembedahan pakai buang hanya boleh digunakan semula jika ia dipakai untuk waktu singkat dan tidak basah atau rosak.

Untuk menggunakan semula topeng itu, katanya, pemakai hanya boleh menyentuh tali telinga untuk membuangnya dan menggunakan pengering rambut elektrik meniup topeng itu selama 30 minit.

Beliau berkata, pengguna juga boleh membiarkan topeng itu diudarakan selama 24 hingga 48 jam yang akan memastikan virus tidak lagi berdaya hidup.

Moy bersetuju dengan keputusan kerajaan mewajibkan penggunaan topeng.

“Jika penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan di tempat sesak dan pengangkutan awam seperti bas dan LRT, memakai topeng amat disyorkan.”

Katanya, mereka yang tidak mampu membeli topeng pakai buang boleh memilih topeng boleh dicuci, tetapi mereka perlu sedar kesan penapisan lebih lemah daripada topeng pakai buang.

“Bagaimanapun, topeng kain masih boleh melindungi orang lain, khasnya jika pemakai ialah pesakit tanpa gejala Covid-19.”