Lebih 5,000 rumah ibadat bukan Islam dibenar operasi

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan 5,230 rumah ibadat bukan Islam di zon hijau dan zon kuning beroperasi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata rumah ibadat boleh beroperasi pada hari dan masa seperti biasa, dengan had kapasiti 1/3 daripada keluasan ruang.

“Kebenaran dan permulaan operasi tertakluk kepada kebenaran kerajaan negeri dan tatacara operasi standard yang ditetapkan, termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera atau memberi maklumat secara manual,” katanya pada sidang media hari ini.

Kebenaran ini menyusuli perbincangan antara Kementerian Perpaduan Negara dan 16 badan dan persatuan agama.

Sementara itu, semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di zon kuning dibenarkan beroperasi, “memandangkan kadar pematuhan SOP yang tinggi”.

SOP bagi masjid dan surau di zon kuning sama seperti di zon hijau, termasuk peraturan had kapasiti 1/3 daripada keluasan ruang.

“Masjid dan surau di negeri-negeri lain tertakluk keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan SOP bagi rumah ibadat bukan Islam “tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri”.

Kementerian dalam kenyataan hari ini menjelaskan pelaksanaan aktiviti keagamaan bagi rumah ibadat bukan Islam juga tertakluk kepada Senarai Aktiviti Yang Dilarang.

“Seperti perarakan keagamaan, kenduri, dan perhimpunan yang ramai dan sukar dikawal,” katanya.

Ahli jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, ketua agama dan penganut dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebiasaan baru dan disiplin kendiri, termasuk penjarakkan sosial, pelitup muka, dan membersihkan tangan.