Ramai ahli keluarga ‘culik’ mayat mangsa Covid-19 dari bilik mayat

Penduduk Indonesia tidak bersetuju dengan peraturan jenazah Covid-19 harus dibalut dengan plastik dan dikebumikan segera. (Gambar Twitter)

Pihak berkuasa Makasar terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di rumah mayat Hospital di Indonesia selepas ramai sanak saudara melarikan mayat mangsa Covid-19 kerana mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut tuntutan agama mereka.

Jurucakap polis tempatan, Ibrahim Tompo, berkata, ahli keluarga mangsa Covid-19 merampas secara paksa mayat yang sudah sedia dikebumikan mengikut protokol virus.

“Sekurang-kurangnya 33 individu ditahan dan mereka berdepan tujuh tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan.

“Bagi mengatasi masalah sama berulang, pihak berkuasa Makassar meletakkan lebih banyak kakitangan untuk mengawal hospital tempatan,” katanya.

Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila tersebar khabar angin mendakwa beberapa mayat dijadualkan dikebumi segera walaupun meninggal dunia kerana penyakit yang tiada kaitan dengan Covid-19.

“Ini menyebabkan keluarga dan penduduk tempatan marah. Jadi, mereka memutuskan untuk mengambil mayat secara paksa untuk dibawa ke rumah,” katanya.

Katanya lagi, sekurang-kurangnya 33 individu ditahan dan berdepan hukuman 7 tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan.

Selain di Makassar, kes itu juga berlaku di beberapa negeri lain termasuklah Surabaya.

4 individu dilaporkan ditahan selepas saudara mara merampas mayat yang disyaki mangsa virus itu dari hospital.

Peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh pihak berkuasa susulan penularan Covid-19 di Indonesia membuatkan ahli keluarga dan sanak saudara marah terutamanya yang beragama Islam.

Mereka tidak bersetuju dengan peraturan di mana jenazah harus dibalut dengan plastik dan dikebumikan segera kerana ahli keluarga tidak boleh mandikan dan mengkafankan jenazah itu sendiri.

Menurut mereka, perkara itu dituntut oleh agama jadi wajarlah jika mayat dibawa pulang dan diuruskan oleh ahli keluarga sendiri.

Kerajaan Indonesia juga menetapkan, keluarga di negara majoriti penduduk Islam itu juga tidak dibenarkan berkumpul atau berada lama di tanah perkuburan ketika mayat mangsa dikebumikan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]