
John Quinley III daripada Fortify Rights yang berpangkalan di Bangkok, berkata ia ibarat menjatuhkan hukuman mati kepada 269 etnik Rohingya yang mencari perlindungan.
Beliau berkata, ramai etnik Rohingya mati di laut tahun ini dan keadaan di laut menjadi teruk sekarang kerana musim tengkujuh baru bermula.
“Kerajaan Malaysia perlu mengesahkan secara terbuka pelarian yang mendarat pada awal Jun tidak akan dihantar ke laut semula.
“Ia patut menyediakan perlindungan dan keselamatan kepada mereka serta segera memberi akses kepada Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya kepada FMT.
Kenyataan Quinley itu menyusul satu laporan media memetik sumber keselamatan sebagai berkata, pihak berkuasa Malaysia mempertimbangkan satu pelan untuk menghantar etnik Rohingya kembali ke laut selepas bot mereka selesai dibaiki.
Kumpulan pelarian itu tiba di Langkawi dari Bangladesh pada 8 Jun lalu dan ditahan apabila pasukan keselamatan mendapati mereka tidak boleh menolak bot itu kerana enjinnya rosak teruk.
Mereka mendapati seorang penumpang maut dalam bot itu dan menyerahkan mayatnya kepada polis. Seramai 269 etnik Rohingya itu kini ditempatkan di Kem Bina Diri Langkawi.
Adrian Pereira daripada kumpulan aktivis Inisiatif Utara-Selatan meminta belas kasihan daripada pihak berkuasa.
Beliau bimbang etnik Rohingya itu akan menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan hamba, jika Malaysia enggan memberi perlindungan kepada mereka.
Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi etnik Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar dan kem pelarian di Bangladesh.
Pegawai Bangladesh menolak cadangan Malaysia untuk menghantar pulang 269 etnik Rohingya itu ke Bangladesh.