
Parti Kerjasama Anak Negeri (PKAN) berkata, menggantikan semua dokumen migran yang dimiliki oleh kira-kira 136,000 orang asing di negeri dengan pas IMM13 akan mengkategorikan pendatang tanpa izin sebagai pelarian.
Presidennya Henrynus Amin berkata, sebagai contoh, pemberian pas IMM13 kepada pendatang tanpa izin Filipina yang mendakwa merupakan pelarian akan menjadi duluan berbahaya dengan implikasi meluas ke atas keselamatan negeri itu.
“Kelulusan menyeluruh pas IMM13 kepada 136,000 pendatang asing, dan kemungkinan 600,000 pendatang tanpa izin Filipina, merupakan pelanggaran serius terhadap tanggungjawab keselamatan kerajaan persekutuan kepada Sabah,” katanya di sini, hari ini.

PKAN merupakan parti tempatan pertama di luar gabungan kerajaan negeri yang menolak cadangan itu secara terbuka selepas Warisan dan Upko mempersetujuinya.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mencadangkan penggunaan pas IMM13 sebagai dokumen standard untuk semua pemegang IMM13, Surat Burung-burung dan Sijil Banji bagi mengatasi isu pelarian dan individu tanpa kerakyatan di Sabah.
Henrynus berkata, berlawanan dengan dakwaan yang dibuat, pas IMM3 tidak mempermudahkan repatriasi pendatang tanpa izin Filipina.
Beliau berkata, pemberian pas IMM13 kepada pendatang tanpa izin telah dilakukan tanpa persetujuan jelas kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri.
“Malah ia adalah dokumen undang-undang yang mengecualikan pendatang tanpa izin Filipina dan tanggungan mereka daripada syarat ketat undang-undang imigresen,” katanya.
Ini kerana pemegang pas berkenaan menikmati perlindungan kerajaan negeri dan keistimewaan untuk tinggal, bekerja, berniaga, berkahwin dan berkeluarga.
“Jelasnya pendatang tanpa izin Filipina yang tiba selepas 1980-an adalah pelarian ekonomi dan tidak layak diberikan pas IMM13 atau status pelarian,” katanya.
Henrynus menuduh pihak berkuasa imigresen mengamalkan dwistandard berhubung penguatkuasaan di Sabah.
Beliau berkata, walaupun kerajaan persekutuan melancarkan serbuan terhadap pendatang tanpa izin dan menolak kemasukan pelarian Rohingya di semenanjung, namun “ia merancang untuk mengesahkan atau mengeluarkan pas IMM13 kepada migran di Sabah.”
“Kami mendesak kerajaan supaya membatalkan rancangan itu dan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Filipina berhubung repatriasi pendatang tanpa izin dari negara itu di Sabah secara teratur,” katanya.
Tags: pendatang tanpa izin, migran, sabah, pas imm13, parti kerjasama anak negeri, imigresen, hamzah zainudin, henrynus amin.